Rabu, 26 Jun 2019 | 4:40pm
LEONG Hoy Kum. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Mah Sing fokus tambah bank tanah, tanah perindustrian

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) memfokuskan pelbagai strategi pengembangan tahun ini termasuk pembelian tanah perindustrian selari dengan pertumbuhan ekonomi negara yang berdepan dengan cabaran luaran.

Gergasi hartanah itu menyediakan perbelanjaan modal sehingga RM1 bilion bagi pembelian tanah berpotensi tinggi dan strategik.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata berdasarkan keadaan pertumbuhan ekonomi semasa terutama berdepan persekitaran cabaran global, ia boleh memberi peluang kepada syarikat untuk meningkatkan jumlah bank tanah.

"Faktor luaran seperti perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China pada masa ini akan membuka peluang lencongan perdagangan ke Malaysia.

"Ini adalah masa terbaik bagi kami untuk meninjau bank tanah berpotensi bagi memenuhi keperluan pasaran hartanah. Pemilikan lebih banyak tanah perindustrian juga sebagai memenuhi keperluan permintaan daripada pengeluar China yang beralih ke pasaran Asia Tenggara," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-27 Mah Sing, di sini, hari ini.

Sehingga 31 Mac 2019, bank tanah Mah Sing berjumlah 849 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dan jualan belum dibilkan berjumlah RM25.1 bilion, yang mana mampu mengekalkan pertumbuhan dalam tempoh lapan hingga sembilan tahun.

Kumpulan juga kini berada pada lembaran imbangan yang positif dengan jumlah tunai dan baki di bank sebanyak RM1.3 bilion bagi suku berakhir 31 Mac 2019.

Selain itu beliau berkata, Mah Sing turut memfokuskan pembangunan hartanah di lokasi strategik selari inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia terutama M40.

Langkah itu katanya,  bagi memenuhi permintaan pasaran dalam menyediakan rumah pada harga berpatutan, lokasi yang strategik dan berkualiti.

"Kerajaan kini sedang mempertimbangkan untuk mengumpilkan nilai bagi tanah berkaitan/milik kerajaan.

"Langkah berkenaan menambah komitmen kami untuk mencari peluang bagi menyokong inisiatif meningkatkan pemilikan serta memenuhi permintaan pasaran hartanah mampu milik, berkualiti dan lokasi strategik," katanya.

Beliau berkata, ia juga memberi nilai positif untuk strategi pertumbuhan syarikat yang mana kini kumpulan sentiasa berusaha meningkatkan jumlah bank tanah menerusi penumpuan utama di Lembah Klang.

"Ini kerana menjadi matlamat kami untuk terus berkembang di kawasan tumpuan serta memiliki pertumbuhan penduduk yang besar," katanya.

Berita Harian X