Isnin, 15 Oktober 2018 | 7:50pm
DATUK Ho Hon Sang - Foto OWEE AH CHUN

Mah Sing sambut baik dasar rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd mengalu-alukan pengumuman oleh kerajaan baru-baru ini berhubung dasar pembinaan rumah mampu milik di bawah RM500,000.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ho Hon Sang, berkata 74 peratus jualan kediaman kumpulan berkenaan pada 2018 adalah di bawah harga RM500,000.

"Mah Sing membina rumah mampu milik sejak 2015 dan mahu menjadi penyumbang besar kepada pembangunan rumah mampu milik di negara ini,” katanya di dalam satu kenyataan

Sejajar dengan ini, Mah Sing memulakan kempen Menghasilkan Kembali Mampu Milik tahun lalu meliputi empat projek iaitu M Centura di Sentul, M Vertica di Cheras, M Vista di Pulau Pinang dan Fern fasa 2 di Timur Meridin, Johor.

Jumaat lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, dilaporkan berkata, kerajaan akan mewujudkan tiga kategori rumah mampu milik yang akan dibina di bawah Dasar Perumahan Negara dengan rumah berharga RM150,000 dan ke bawah, RM150,000-RM300,000 dan RM300,000-RM500,000 akan termasuk dalam kategori baharu itu.

“Untuk masa hadapan, kami akan terus meningkatkan kehidupan pelanggan dengan membangunkan produk yang dimampui dan terancang,” tambah Hon Sang.

Berada di dalam industri selama 24 tahun, Mah Sing pada masa ini melaksanakan 47 projek di kawasan rancak dengan pembangunan hartanah di Malaysia dan sudah menjual kira-kira 39,000 unit.

Berita Harian X