Rabu, 29 Ogos 2018 | 9:35pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Saddam Yusoff
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. - Foto Saddam Yusoff

KWAP belanja RM280 juta beli dua hartanah di UK

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) membeli dua kemudahan penginapan penuntut berharga kira-kira RM280 juta di United Kingdom daripada IP Investment Management (HK) Ltd dan Maven Capital Partners.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, hartanah di Birmingham dan Edinburgh dengan purata hasil bersih kira-kira 5.08 peratus, adalah sejajar dengan aspirasi KWAP untuk meningkatkan pendedahannya terhadap hartanah antarabangsa.

“Kami akan terus meningkatkan kehadiran di pasaran antarabangsa dan seiringan dengan misi untuk memberi manfaat kepada pesara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pembelian hartanah itu adalah berpandukan peruntukan aset strategik dana itu yang pada masa ini merangkumi 40 peratus pendapatan tetap, 45 peratus ekuiti dan 15 peratus pelaburan alternatif.

“Pelaburan hartanah pula meliputi sembilan peratus daripada peruntukan untuk pelaburan alternatif, diikuti ekuiti swasta sebanyak empat peratus dan infrastruktur dua peratus,” katanya.

Menurutnya, setakat 31 Disember tahun lalu, hartanah asing adalah 75 peratus daripada pelaburan hartanah KWAP manakala selebihnya di pasaran tempatan.

Pembelian dua hartanah terbaru itu kini menjadikan sebanyak 14 hartanah dimiliki secara tunggal dan bersama oleh KWAP dengan lokasi hartanah antarabangsanya di London, Australia serta Jerman. – BERNAMA

Berita Harian X