Isnin, 13 Ogos 2018 | 4:14pm
TIMBALAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Senator Datuk Ar. Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berucap ketika merasmikan pameran “My Hse Malaysian Future Housing” di Pusat Membeli-belah Damansara City. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pasaran hartanah perlu inovatif baharu - Raja Bahrin

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah Malaysia memerlukan pelbagai inovatif baharu dan pembabitan menyeluruh pemain industri hartanah dalam usaha mengurangkan kos pembinaan hartanah di negara ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata itu adalah antara isu utama yang diberi penekanan oleh kementeriannya selain langkah meningkatkan bilangan perumahan mampu milik serta peningkatan dasar serta rangka kerja pengawalseliaan.

“Semua pihak harus bersikap terbuka dan berubah dari kaedah sebelum ini (ketika di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional) bersama membantu kerajaan dalam melaksanakan inovatif dan kaedah teknologi baharu dalam menangani pelbagai isu dan cabaran serta mewujudkan industri perumahan yang kompetitif dan mampan

“Kita tidak boleh capai penurunan harga jika pihak lain tidak mempunyai sikap sama dan bersama membantu merealisasikan hasrat kerajaan ini.

“Inovasi baharu seperti rekaan dan penggunaan sepenuhnya tanah dilihat dapat membantu mengatasi beberapa masalah termasuk harga jualan.

“Kerajaan mempunyai komitmen dalam pasaran hartanah seperti pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi bahan asas pembinaan dan kos bahan binaan.

“Namun pengecualian cukai ini bukanlah faktor penentu penurunan harga hartanah kerana banyak kos lain yang masih dikenakan daripada pihak yang lain,” katanya selepas pelancaran pameran My.HSE Malaysia Future Housing di sini hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, berdasarkan statistik dari Bank Negara Malaysia pada 2014, negara masih memerlukan 960,000 unit rumah mampu milik dan angka ini berpotensi meningkat kepada lebih sejuta unit menjelang 2020 jika tiada langkah produktif diambil oleh semua pihak.

Beliau berkata, terdapat banyak isu yang dihadapi oleh pasaran perumahan hari ini, salah satunya ialah harga rumah tidak sepadan dengan pendapatan pembeli rumah.

Katanya, kebimbangan utama rakyat dalam pemilikan rumah adalah dari segi harga dan lokasi hartanah itu sendiri kerana mereka merasakan bahawa rumah di Malaysia terlalu mahal dan melampaui kemampuan mereka.

“Lokasi rumah dan jarak dari tempat kerja juga dianggap sebagai kebimbangan utama. Lantaran itu, kami mahu lebih ramai orang memberi idea mengenai isu perumahan.

“Hak untuk perumahan adalah keperluan asas, manakala kualiti yang baik dan perumahan yang mampu dimiliki adalah cerminan dari kualiti kehidupan yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Ar Ezumi Harzani Ismail berkata permasalahan rumah mampu milik bukan sahaja dapat diselesaikan melalui pembinaan bangunan baharu, malah bangunan lama dengan cara mentransformasikan bangunan itu bagi mengubah wajah perumahan mampu milik.

Ezumi berkata, langkah itu dilihat sesuai dengan keperluan dan permintaan bagi rumah mampu milik kerana pada masa ini masih kurang bekalan bagi rumah yang ditawarkan pada harga pertengahan atau lebih rendah berbanding rumah mewah.

“Selain itu, kita juga boleh mempertimbangkan pilihan skim inovatif termasuk rumah mampu milik untuk disewa, sewa untuk dimiliki dan perkongsian pemilikan sebagai salah satu elemen penting dalam rangka kerja sistem perumahan.

“PAM berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mencari penyelesaian terbaik dan tempat bagi menangani masalah ini terutama dalam kalangan rakyat yang tergolong dalam pendapatan kurang daripada 40 peratus dari isi rumah atau B40," katanya.

Ezumi berkata, pihaknya juga berhasrat untuk menghilangkan persepsi bahawa perumahan adalah pelaburan yang mahal kerana keperluan untuk mendapatkan perlindungan tidak akan menjadi beban kepada semua orang.

Beliau berkata, pihaknya akan mencari penyelesaian mengenai pelbagai isu rumah mampu milik terutama daripada aspek reka bentuk, kualiti, keberkesanan ruang dan kemudahan yang dijangka meningkatkan lagi prospek hartanah.

Berita Harian X