Isnin, 9 Julai 2018 | 12:21pm

Mah Sing dinobat antara 10 pemaju terkemuka di Malaysia

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd dipilih antara 10 pemaju terkemuka pada anugerah Pemaju-pemaju Bangunan dan Pembinaan Asia (BCI Asia) 2018 baru-baru ini.

Anugerah berprestij itu memperakui 10 syarikat pembangunan utama yang membuat sumbangan ketara dalam pembangunan struktur negara tahun lalu.

"Anugerah ini membuktikan komitmen dan dedikasi syarikat dalam menyediakan kediaman berkualiti untuk rakyat berdasarkan visi kami," kata Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Leong Hoy Kum dalam satu kenyataan hari ini.

Pemaju hartanah itu kini mempunyai 47 projek yang sedang dibangunkan, terdiri daripada pembangunan projek industri, kediaman bertanah dan bangunan tinggi, projek komersial bercampur serta taman perniagaan bersepadu di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

Berita Harian X