Jumaat, 6 Julai 2018 | 7:44pm

EcoWorld International mula projek Yarra One

MELBOURNE: Eco World International Bhd (EcoWorld International) memulakan pembinaan projek milik Yarra One, sebuah menara bernilai AUD$243 juta (RM728 juta) yang terletak di South Yarra, di sini.

Dengan tujuh pembangunan di peringkat antarabangsa termasuk di United Kingdom dan West Village di Parramatta, Sydney dalam barisan portfolionya, Yarra One, yang dilancarkan pada 2017, adalah projek pertama EcoWorld International ke pasaran Melbourne.

Direka oleh arkitek terkemuka dunia, Fender Katsalidis dan menawarkan pelbagai kemudahan untuk memenuhi keperluan penghuninya, menara 26 tingkat itu merangkumi 255 unit pangsapuri yang terdiri daripada satu, dua dan tiga bilik tidur, selain penthouse empat bilik tidur.

Majlis pecah tanah itu dihadiri Datuk Bandar Stonnington Cr Steve Stefanopoulos; Pengasas Arkitek Fender Katsalidis, Karl Fender; Pengarah Eksekutif Pembangunan Eco World dan Pengarah Eksekutif Salcon Bhd, Datuk Eddy Leong dan Pengarah Eksekutif EcoWorld International, Datuk Voon Tin Yow.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld International, Datuk Teow Leong Seng, berkata upacara pecah tanah itu adalah satu peristiwa penting bagi syarikat dan sebagai projek pertama dengan banyak lagi projek ikonik dijangka menembusi pasaran Melbourne.

"Pasaran Melbourne yang matang dengan penerimaan terhadap Yarra One menjadi pengalaman yang sangat positif kepada kumpulan.

"Kami tidak sabar melihat projek itu disiapkan sekali gus mengembangkan jenama EcoWorld, yang menumpukan pada gaya hidup kepada pasaran Australia," katanya dalam satu kenyataan.

Di dalam bahagian Atrium Yarra One akan menempatkan ruang pejabat tiga tingkat dengan bilik msyuarat, pejabat persendirian, ruang majlis, internet berkelajuan tinggi dan kafe.

EcoWorld International melantik Hickory sebagai kontraktor utama dengan pembinaan dijangka siap pada separuh kedua 2020.

Berita Harian X