Khamis, 31 Mei 2018 | 7:11pm

Mah Sing yakin capai sasaran jualan RM1.8 bilion

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing), pemaju hartanah terkemuka optimis untuk mencapai sasaran jualan RM1.8 bilion tahun ini, menerusi prestasi cemerlang jualan hartanah baharu berjumlah RM470 juta pada suku pertama berakhir Mac 2018.

Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata beberapa projek hartanah baharu yang dilancarkan kumpulan merekodkan penjualan yang kukuh seperti M Centura di Cheras dan M Vertica di Sentul.

"Selain itu, pelancaran kempen 'Desire Campaign' yang merangkumi 19 projek yang sudah siap dan akan siap turut membantu kepada prestasi jualan syarikat.

"Sasaran kempen berkenaan terutama terhadap pemilik rumah dan pelabur yang sedia untuk berpindah ke rumah siap didiami atau untuk dijadikan sebagai ruang kerja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat permintaan yang tinggi bagi kediaman serba lengkap dan kempen berkenaan menyediakan pelbagai pakej menarik kepada pembeli.

"Ia antaranya menyediakan skim pembiayaan fleksibel dengan deposit rendah dan rundingan pengubahsuaian kediaman percuma.

"Justeru, dengan tawaran menarik itu, kami yakin kempen berkenaan mampu membantu merangsang pertumbuhan jualan positif untuk kumpulan, sekali gus mencapai sasaran jualan RM1.8 bilion, tahun ini," katanya.

Keuntungan bersih pada suku pertama 2018 Mah Sing mencecah kira-kira RM64.2 juta berbanding RM90.4 juta setahun lalu.

Pendapatan pada tempoh sama mencatatkan RM584.8 juta berbanding RM723.5 juta, tahun lalu.

Prestasi itu berikutan kemajuan projek lebih perlahan pada musim perayaan ditambah dengan pemfokusan lebih banyak kepada pembangunan produk mampu milik.

Hoy Kum berkata, meskipun berdepan ketidaktentuan global dan tempahan dalam pasaran domestik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kumpulan masih berjaya merekodkan prestasi jualan yang baik.

"Jadi, tumpuan kami kini adalah untuk membangunkan lebih banyak unit mampu milik dan berpatutan bagi memenuhi permintaan pasaran," katanya.

Berita Harian X