Rabu, 17 Januari 2018 | 6:51pm

Mah Sing, EduCity sedia penginapan pelajar

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group (Mah Sing) menjalin kerjasama dengan EduCity Iskandar Malaysia (EduCity) bagi menyediakan penginapan luar untuk pelajar.

Penginapan bagi pelajar itu terletak di Meridin@Medini dalam wilayah Iskandar Johor dengan jarak 3.6 kilometer dari kampus bersepadu EduCity.

Kerjasama itu menawarkan 183 unit rumah yang lengkap dengan perabot dan boleh menampung seramai 370 pelajar.

Dengan hanya bayaran sewa bulanan sebanyak RM850 seorang, Mah Sing menjadi penyedia penginapan luar bagi pelajar di Hab Pendidikan Iskandar Malaysia.

Ketua Eksekutif Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang, berkata kerjasama berkenaan selaras dengan slogan syarikat itu 'Reinvent Spaces. Enhance Life'.

Katanya, Mah Sing akan menyediakan penginapan yang berkualiti bagi pelajar.

"Selain itu, kami juga akan menyediakan bas ulang-alik bagi pelajar yang tinggal di Meridin@Medini bagi memudahkan perjalanan mereka ke EduCity," katanya pada sidang media selepas memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan EduCity di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi EduCity Iskandar Malaysia, Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad serta Pengurus Besar Kanan (Selatan) Mah Sing, Benjamin Ong.

Pelajar boleh membuat pilihan untuk menginap di unit studio atau unit studio berkembar dengan keluasan antara 341 kaki persegi hingga 603 kaki persegi.

Sementara itu, Khairil berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama berkenaan kerana ia boleh meningkatkan pelbagai kemudahan kepada lebih 3,000 pelajar yang kini berada di EduCity.

"Penginapan yang baik penting bagi mencipta persekitaran yang kondusif untuk pelajar," katanya.

Berita Harian X