Isnin, 6 Februari 2023 | 12:49pm
Volvo Car Malaysia menawarkan pelbagai jenis kenderaan elektrik hibrid CKD dan EV pertama di Malaysia -NSTP/Aziah Azmee
Volvo Car Malaysia menawarkan pelbagai jenis kenderaan elektrik hibrid CKD dan EV pertama di Malaysia -NSTP/Aziah Azmee

Volvo mahu jadikan Malaysia hab kereta elektrik ASEAN

KUALA LUMPUR: Volvo Car Malaysia menyasar menjadikan negara ini hab kenderaan elektrik (EV) ASEAN dengan mengumumkan langkah pengembangan eksport terkini ke Vietnam dan Filipina pada tahun ini.

Pengarah Urusannya, Charles Frump, berkata kilang pengeluarannya di Malaysia dijangka memainkan peranan penting dalam mencapai cita-cita Volvo Car Malaysia dengan menyenaraikan tambahan dua negara ASEAN itu.

"Langkah eksport EV adalah antara usaha kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab EV di ASEAN.

Dengan keupayaan pemasangan tempatan (CKD), kilang pemasangan Volvo Car Malaysia menyediakan peluang yang baik untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai pembuat EV premium utama dan memacu Malaysia lebih jauh ke arah masa depan elektrik.

"Cita-cita Volvo Car Malaysia juga ke arah memperkenalkan semua kenderaan elektrik di Malaysia semakin menjadi kenyataan," katanya.

Volvo Car Malaysia sudah memulakan penghantaran kenderaan EV ke Indonesia tahun lalu.

Syarikat itu memulakan perjalanan elektrifikasi dengan pengenalan EV pertama mereka di Malaysia iaitu Volvo XC40 Recharge Pure Electric pada Mac 2022.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik premium itu mendapat sambutan menggalakkan dengan 400 unit ditempah dalam tempoh sebulan selepas dilancarkan.

Pada Disember lalu, Volvo Car Malaysia memperkenalkan model EV CKD kedua, iaitu Volvo C40 Recharge Pure Electric.

Frump berkata, Volvo Car Malaysia berada di landasan yang betul dengan mencapai sasaran 75 peratus jualannya daripada barisan kenderaan elektrik tulen menjelang 2025 dan menjadi syarikat kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2030.

"Sebahagian daripada inisiatif adalah untuk mendigitalkan Malaysia adalah pengenalan platform jualan dalam talian, inisiatif pertama syarikat untuk menjual kereta terus kepada pelanggannya di Malaysia dengan matlamat membina hubungan pengguna langsung.

"Pembeli yang berminat boleh mendapatkan panduan langkah demi langkah di platform jualan dalam talian Volvo Car Malaysia," katanya.

Volvo Car Malaysia adalah pembuat kereta automotif mewah yang menawarkan pelbagai jenis kenderaan elektrik hibrid (CKD) dan EV pertama di Malaysia.

Syarikat itu menutup 2022 dengan rekod jualan tertinggi iaitu 3,194 unit, melonjak 43 peratus berbanding 2021, sekali gus menjadi pertumbuhan jualan tahun ketujuh berturut-turut.

Berita Harian X