Jumaat, 3 Februari 2023 | 10:24pm
Proton X50 SUV paling popular di Malaysia pada 2022 - Foto ihsan PROTON
Proton X50 SUV paling popular di Malaysia pada 2022 - Foto ihsan PROTON

PROTON catat jumlah jualan luar biasa pada Januari

SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (PROTON) menjual 11,681 unit kenderaan di domestik dan eksport pada Januari, lonjakan ketara 162.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ia menjadi permulaan terbaik pengeluar kereta nasional tahun ini selepas bergelut dengan isu bekalan berkaitan banjir menyekat jualan pada awal 2022.

Dalam satu kenyataan, PROTON berkata, prestasi positif yang dicatatkan syarikat itu menyaksikan ia kekal di tempat kedua dalam jadual jualan dengan selesa.

"Penguasaan pasaran PROTON untuk Januari dianggarkan 22.9 peratus, satu peningkatan lebih daripada 12 peratus dari tahun ke tahun dan pertambahan lebih 3.0 peratus daripada pegangan pasaran sebanyak 19.6 peratus untuk keseluruhan tahun 2022.

"Jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk Januari dianggarkan pada 51,000 unit, iaitu peningkatan sebanyak 22.8 peratus dalam jumlah jualan kenderaan di Malaysia.

Proton X50 yang menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) paling popular negara pada tahun lalu, meneruskan trendnya pada tahun baharu dengan 2,992 unit terjual pada Januari, sekali gus membolehkan ia kekal di tangga teratas carta jualan segmen-B dan keseluruhan SUV.

Jualan Proton X70 pula berada pada 993 unit bulan lalu, meletakkannya di tempat kedua dalam segmennya.

Bagi model Proton yang lain, Proton Saga terus model terlaris dengan 4,788 unit dijual manakala jualan Proton Iriz melonjak sebanyak 111 peratus dari tahun ke tahun untuk mengakhiri bulan dengan 597 unit dijual.

Proton Exora pula mengekalkan kedudukan sebagai raja kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen-C apabila 332 unit telah dijual bulan lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata pengeluar kereta nasional itu telah menikmati permulaan yang baik untuk 2023, pencapaian Januari terbaik sejak 2013.

"Kami menjangkakan aliran ini akan berterusan untuk suku pertama tahun ini kerana kami mesti memenuhi pesanan tertunggak yang dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menjelang 31 Mac.

"Memandang ke hadapan untuk baki 2023, walaupun sentimen pasaran menganggarkan TIV akan surut daripada rekod baru jumlah jualan pada tahun lalu, PROTON tetap optimistik akan berjaya mencapai pertumbuhan untuk tahun ke lima berturut-turut.

"Dengan kemudahan baru yang akan beroperasi di kilang Tanjung Malim, penambahan kepada rangkaian jualan, pelaburan infrastruktur mengecas kenderaan elektrik (EV) dan penambahan model konvensional dan EV kepada barisan model Proton, kami yakin akan mampu mencapai keputusan yang positif pada akhir tahun," katanya.

Berita Harian X