Jumaat, 3 Februari 2023 | 10:41am
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah

PROTON sasar jadi tiga jenama kereta terbesar ASEAN

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) sedang menyusun strategi untuk menjadi antara tiga syarikat automotif terbesar ASEAN menjelang 2027 dengan rancangan memasuki semula dua pasaran terbesar rantau ini iaitu Indonesia dan Thailand.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata kemasukan semula ke dua pasaran utama itu penting untuk mengukuhkan cengkaman pengeluar kereta nasional itu dan mengembangkan pasaran eksport selepas mencatat pertumbuhan positif pada peringkat domestik.

"Tanpa dua pasaran ini (Thailand dan Indonesia), impian kita untuk menjadi antara tiga syarikat automotif terbesar ASEAN sukar dicapai. Dengan sokongan Geely dan keupayaan PROTON sendiri, sasaran ini mampu dicapai," katanya kepada BH.

Beliau ditemui pada majlis bersama media bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, baru-baru ini.

Untuk rekod, pasaran automotif Thailand menjual 849,388 unit, manakala Indonesia sebanyak 1,048,040 unit tahun lalu.

Berdasarkan angka jualan 2022 mengikut jenama di Thailand, Toyota (termasuk Lexus) menjual 288,809 unit kenderaan, diikuti Isuzu dengan 212,491 unit dan Honda 82,842 unit.

Bagi Indonesia pula, Toyota kekal peneraju dengan jualan 331,410 unit, sementara Daihatsu di tempat kedua dengan 202,665 unit dan Honda (131,280 unit).

Mengulas lanjut, Roslan berkata, buat masa ini PROTON sedang menilai semula kedudukan pasaran Thailand dan Indonesia selepas menghentikan eksport produknya masing-masing pada 2014 dan 2015, selain mengenal pasti rakan niaga di kedua-dua negara itu.

Katanya, syarikat automotif nasional itu juga sedang mengenal pasti keperluan automotif di kedua-dua pasaran kerana piawaian yang ditetapkan adalah berbeza termasuk tahap emisi di mana jika tidak dipenuhi, PROTON akan dikenakan cukai berbeza, sekali gus menyebabkan produk kita tidak kompetitif.

"PROTON kena laksanakan kajian semula yang agak terperinci di dua-dua pasaran yang telah kita tamatkan eksport untuk pastikan kita berjaya. Kita akan mengambil sedikit masa untuk tujuan ini.

"Pasukan PROTON sememangnya sudah menapak di sana (Thailand dan Indonesia) yang melaksanakan kajian pasaran. Cuma kita perlukan masa dan produk yang sesuai untuk kembali ke dua negara ini. Kita tidak meletakkan tempoh masa tertentu," katanya.

PROTON menjangkakan jualan lebih tinggi tahun ini
PROTON menjangkakan jualan lebih tinggi tahun ini

Beliau menjelaskan, bagi memastikan projek eksport itu berjaya, PROTON memerlukan data yang tepat dan situasi yang betul.

"Kita memang ada pasukan di sana. Contoh di Indonesia, ada pasukan kita yang beroperasi di sana dengan membekalkan komponen bagi memenuhi keperluan pengguna di sana.

"Cuma untuk pasukan membabitkan pemasaran, PROTON sudah wujudkan sejak enam bulan lalu selepas diberi kelulusan memasuki lebih 'bebas' di Indonesia," katanya.

Buat masa ini, PROTON memberi tumpuan kepada operasi pasaran Pakistan dan Afrika Selatan yang memberikan potensi yang besar kepada syarikat itu, tambah Roslan.

Selain menambah pasaran eksportnya kepada 17 negara dan memperkenalkan Mesir sebagai pasaran pemasangan tempatan (CKD) terbaharunya.

PROTON kini memiliki 14 rangkaian pengedar dengan empat kilang pemasangan di Kenya, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh.

Sementara itu, Roslan berkata PROTON menjangkakan jualan tahun ini lebih tinggi sekitar 10 hingga 20 peratus berbanding rekod pencapaian terbaiknya iaitu 141,432 unit yang dicatatkan tahun lalu.

Beliau berkata, sasaran lebih tinggi yang ditetapkan pengeluar kereta nasional itu bakal dipacu pengenalan sekurang-kurangnya satu model segmen baharu tahun ini, selain pelancaran barisan model sedia ada yang dipertingkatkan.

Katanya, isu bekalan yang semakin mereda dan tempahan tertangguh pelanggan yang masih berbaki untuk tempoh sehingga 31 Mac bagi menikmati insentif pengecualian cukai bagi kenderaan yang ditempah setakat 30 Jun 2022 juga bakal menyokong jualan positif PROTON tahun ini.

"Kita belum menetapkan sasaran tepat mengenai sasaran jualan kereta untuk pasaran domestik dan eksport tahun ini. Namun, sasaran kita adalah melebihi angka yang dicatatkan tahun lalu," katanya.

PROTON mengakhiri 2022 dengan pertumbuhan jualan empat tahun berturut-turut yang melonjakkan jualan keseluruhan 141,432 unit di pasaran domestik dan eksport, jumlah tertinggi sejak 2013.

Berita Harian X