Rabu, 1 Februari 2023 | 10:21am
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce, Mooi Fi Phang
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce, Mooi Fi Phang

Proton Commerce pecah rekod pengeluaran pinjaman

SUBANG JAYA: Proton Commerce Sdn Bhd, cabang pinjaman kewangan PROTON Holdings Bhd mencatatkan keputusan terbaik dalam sejarah pada 2022 dengan mengeluarkan 22,467 pinjaman, meningkat 54 peratus berbanding 2021.

Angka itu dicapai selepas lapan daripada 12 bulan pada 2022 mencatatkan lebih 2,000 pinjaman dengan September mencapai angka tertinggi sepanjang masa iaitu sebanyak 2,872.

Pada masa sama, perkembangan jumlah pengeluaran dicerminkan dengan peningkatan dalam kadar kelulusan pinjaman, yang mana pada Mei dan Jun mencapai kadar kelulusan tertinggi sepanjang masa sebanyak 59 peratus.

Satu lagi pencapaian syarikat itu tahun lalu ialah dengan menjadi pembiaya utama bagi Proton Saga.

Bermula dari suku keempat 2021, Proton Commerce menjadi peneraju pasaran untuk model itu selama lima suku berturut-turut dan pada November, 32 peratus berbanding jumlah unit Proton Saga dibiayai olehnya, sekali gus satu lagi tanda tinggi baharu.

"PROTON menghadapi permulaan yang sukar bagi 2022 dan ini memberi kesan kepada Proton Commerce. Walau bagaimanapun, kami sempat memulihkan keadaan dan menebus semula peluang yang terlepas untuk muncul dengan rekod pengeluaran baharu.

"Untuk 2023, kami menyasarkan meningkatkan volum dan kadar kelulusan yang lebih tinggi lagi dengan mengambil kesempatan terhadap populariti berterusan model Proton serta pengenalan model baharu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Commerce, Mooi Fi Phang dalam satu kenyataan.

Proton Commerce yang ditubuhkan pada 27 Oktober 2003 adalah usaha sama antara Proton Edar dan CIMB dengan tujuan menyediakan pinjaman kewangan untuk pembeli Proton.

Pada 2023, Proton Commerce mengumumkan manfaat baharu untuk pelanggannya, yang mana berkuat kuasa dengan serta-merta, kesahihan 'Letter Of Undertaking' (LOU) yang dikeluarkan akan dilanjutkan daripada 90 hari kepada 180 hari bagi memudahkan pembeli model Proton yang menghadapi masa menunggu lama untuk varian pilihan mereka.

"Selain memanjangkan kesahihan LOU kami, Proton Commerce juga akan mengekalkan kadar faedah yang ditawarkan pada masa kelulusan dan kerana kami menawarkan pembiayaan kadar tetap, pelanggan kami tidak perlu bimbang mengenai peningkatan bayaran bulanan.

"Ini akan memberi manfaat kepada pembeli Proton yang menunggu untuk kereta dan juga bantu mengawal belanjawan peribadi mereka," kata Fi Phang.

Berita Harian X