Jumaat, 19 Ogos 2022 | 11:23am
Model Proton Exora tahun 2023 menampilkan penggayaan serba baharu
Model Proton Exora tahun 2023 menampilkan penggayaan serba baharu

Proton Exora 2023 dilancar, harga bermula RM62,800

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) hari ini melancarkan Proton Exora 2023 secara rasmi yang ditawarkan pada harga bermula RM62,800.

Dilancarkan di PROTON KEB Auto Sdn Bhd TTDI Kajang, Selangor, model kenderaan pelbagai guna (MPV) itu hadir dengan dua varian iaitu 1.6T Executive CVT yang dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM62,800 dan 1.6T Premium CVT (RM69,800).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata Proton Exora, MPV buatan Malaysia pertama yang telah direka dan dibina dengan memikirkan keperluan rakyat Malaysia.

"Kemas kini terbaru pada Proton Exora 2023 yang juga produk terkemuka dalam kelasnya ini telah dinaik taraf dan membuatkan ia lebih baik untuk semua pemandu dan juga penumpang, merentasi pelbagai aplikasi dengan fokus untuk mengukuhkan ciri kuasa, ruang dan nilai.

"Dengan lebih 180,000 unit terjual sepanjang 13 tahun, Proton Exora adalah MPV segmen C dengan penjualan terbaik setakat ini, sehingga hari ini masih mengekalkan kedudukannya," katanya dalam satu kenyataan.

Ruang dalaman Proton Exora 2023.
Ruang dalaman Proton Exora 2023.

Proton Exora dengan tujuh tempat duduk milik pengeluar kereta nasional itu telah menerima kemas kini untuk model tahun 2023 yang terdiri daripada penggayaan serba baharu yang merangkumi ciri penjualan uniknya iaitu reka bentuk luar biasa, ruang yang besar, kepintaran luar biasa dan prestasi menakjubkan.

Ia telah dikemas kini di bahagian luaran dalam bentuk logo PROTON baharu di gril hadapan dan belakang.

Untuk menyerlahkan penampilan 'sporty', ia dilengkapi dengan lampu LED cahaya siang, roda aloi 16 inci dalam kemasan dwi-tona, 'skirting' sisi dan 'spoiler' belakang.

Bumbung hitam dengan hiasan belakang berwarna hitam memberikan penampilan tersendiri di atas jalan raya.

Kabin yang luas dengan tujuh tempat duduk kulit, stereng pelbagai fungsi yang dibaluti kulit dan tempat letak tangan bahagian pemandu dan penumpang hadapan pula memberikan sentuhan mewah dan selesa.

Bahagian belakang Proton Exora 2023.
Bahagian belakang Proton Exora 2023.

Ciri penting untuk sebuah MPV, setiap barisan tempat duduk dilengkapi dengan penghawa dingin individu untuk penyejukan optimum dengan Penapis Kabin N95, dipasang sebagai standard untuk meningkatkan kualiti udara.

Lebih menarik, sistem infotainmen dengan monitor skrin sentuh tujun inci dan Perintah Suara 'Hi PROTON' turut melengkap Proton Exora 2023.

Ia juga lengkap dengan navigasi dalam talian, penstriman muzik, ramalan cuaca, 4G dan Wi-Fi membolehkan pengalaman multimedia yang mewah, selain sistem berkenaan mempunyai sambungan telefon pintar untuk mencerminkan pautan dengan peranti Android.

Bagi meningkatkan ketersambungan, dua port USB tersedia untuk mengecas peranti elektronik anda.

Dari aspek prestasi pula, Proton Exora 2023 didatangkan dengan enjin pengecas turbo 1.6 liter yang dipasangkan dengan transmisi CVT, yang menjana kuasa 140PS dan tork 205Nm.

Ruang pemandu Proton Exora 2023.
Ruang pemandu Proton Exora 2023.

Dari segi keselamatan, Proton Exora 2023 telah dilengkapi dengan dua beg udara SRS hadapan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS). Memberi keyakinan yang tinggi dengan kamera undur dan sensor parkir belakang.

Proton Exora 2023 kini telah dibuka untuk tempahan dalam talian dan di pusat pameran PROTON yang sah.

Ia boleh didapati dalam lima warna yang pilihan iaitu Snow White, Indiana Grey, Rosewood Maroon, Ruby Red & Cocoa Grey.

Berita Harian X