Selasa, 31 Mei 2022 | 5:25pm
Antara kereta PROTON yang bakal dihantar ke Afrika Selatan - Foto ihsan PROTON
Antara kereta PROTON yang bakal dihantar ke Afrika Selatan - Foto ihsan PROTON

PROTON eksport tiga model kereta ke Afrika Selatan

KUALA LUMPUR: PROTON membuat penghantaran pertama ke Afrika Selatan selepas menandatangani perjanjian untuk melantik CMH Group sebagai pengedar kenderaannya di negara itu pada April lalu.

Stok penghantaran yang pertama ke negara itu sejak 2012 terdiri daripada Proton X50, Proton X70 dan Proton Saga.

Kapal yang mengangkut kenderaan itu berlepas dari Westport, Klang dan dijangka tiba di Durban, Afrika Selatan, pada Julai ini.

Pengarah Jualan Antarabangsa PROTON, Steven Xu, berkata penghantaran itu adalah satu lagi pencapaian yang penting bagi PROTON pada tahun ini.

"Afrika Selatan adalah pasaran yang matang dengan banyak pesaing, tetapi kami yakin Proton X50, Proton X70 dan Saga mempunyai kombinasi ciri-ciri dan nilai untuk wang yang mencukupi untuk bersaing di sana.

"CMH Group sedang berusaha untuk menyediakan rangkaian pengedaran dan kami merancang untuk melancarkan model PROTON pada akhir suku ketiga tahun ini.

"Minggu lalu, beberapa ahli pengurusan CMH Group telah melawat Malaysia untuk bermesyuarat bersama PROTON serta melawat pengedar dan kilang di Tanjung Malim," katanya dalam satu kenyataan.

Penambahan jualan eksport PROTON pada tahun ini adalah kerana peningkatan permintaan masing-masing sebanyak 77 peratus dan 31 peratus bagi Proton X50 dan Proton X70.

Bagi suku pertama tahun ini, jumlah keseluruhan eksport telah bertambah sebanyak 175 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada 2021 dan kadar penumbuhan itu dijangka terus naik kerana syarikat mempunyai sasaran untuk menambah jualan sebanyak 300 peratus.

Bagi mencapai sasaran itu, operasi pemasangan tempatan perlu diperluaskan.

Buat masa kini, operasi sedang berjalan di Pakistan, Kenya dan Bangladesh dengan Sri Lanka bakal sertai senarai negara pada separuh kedua 2022.

Bagi tiga tahun sebelum ini, PROTON menambah pegangan jumlah bagi kenderaan eksport Malaysia daripada 12.8 peratus pada 2019 kepada 30.2 peratus pada 2020 dan 61 peratus pada 2021 walaupun ada banyak

halangan akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata penambahan jualan eksport amat penting bagi PROTON untuk mencapai sasaran jangka masa panjang.

"Syarikat perlu memasuki lebih banyak pasaran baharu untuk meningkatkan lagi jumlah jualan.

"Kami telah membuat pelaburan di Tanjung Malim dan operasi luar negara bagi memastikan dapat menyambut sebarang peluang yang bakal diterima," katanya.

Berita Harian X