Selasa, 17 Mei 2022 | 4:53pm
Sedan mewah eksekutif ini buktikan keunggulan kejuruteraan terunggul Lexus.
Sedan mewah eksekutif ini buktikan keunggulan kejuruteraan terunggul Lexus.

Pengendalian sempurna Lexus ES 250

Sedan mewah dengan pengendalian paling progresif. Itu sahaja yang boleh penulis diterjemahkan ketika memandu uji Lexus ES 250 untuk varian tertinggi, F SPORT.

Walaupun daripada aspek responsif, model ini agak kurang menyengat, namun pujian melambung tinggi boleh penulis ucapkan membabitkan pengendalian dan pemanduan.

Setiap kali mengambil selekoh atau memandu pada kelajuan yang tinggi, Lexus ES 250 yang diuji ini langsung tidak 'goyang', malah sebagai pemandu, sesiapa sahaja pasti yakin dengan jentera ini.

Lexus ES 250 F SPORT sememangnya menang pada gaya dan pengendalian.
Lexus ES 250 F SPORT sememangnya menang pada gaya dan pengendalian.

Sebagai contoh, ketika memandu uji keluar dari susur lebuh raya yang memiliki selekoh hampir separa '0', penulis telah menggunakan kelajuan yang tinggi, tidak seperti kebiasaannya.

Namun, agak mengejutkan, model ini langsung tidak 'membuang' atau olengan badan juga tidak terasa langsung.

Sedan mewah eksekutif ini buktikan keunggulan kejuruteraan terunggul Lexus.
Sedan mewah eksekutif ini buktikan keunggulan kejuruteraan terunggul Lexus.

Terima kasih kepada suspensi depan jenis McPherson strut dan jenis double-wishbones di belakang yang memberi keselesaan dan pemanduan telah diperbaiki dengan menambah keteguhannya (dengan cara menambah pendakap) pada suspensi belakang.

Penyerap hentak prestasi dipasang pada F SPORT dan penyerap hentak pada casis ini menyerap bahkan gegeran kecil pada mampatan kerangka dan/atau melentur untuk membolehkannya memerangkap apa-apa resonan yang mungkin menyebabkan bunyi bising dalam kabin.

Lexus ES 250 F SPORT sememangnya menang pada gaya dan pengendalian.
Lexus ES 250 F SPORT sememangnya menang pada gaya dan pengendalian.

Justeru, ia memang sesuai untuk membawa 'bos-bos' dengan selesa walaupun ketika berada di keadaan jalan yang tidak lurus.

Pada hemah penulis, Lexus ES 250 diperkenalkan bukannya untuk bermegah dengan kelajuan dan responsif, tetapi ia amat mementingkan keselesaan kepada pemandu, lebih-lebih lagi penumpang.

Disifatkan sebagai antara sedan mewah eksekutif yang selalu menjadi keinginan ramai oleh kerana perincian buatan, keselesaan dan kehalusannya, model ini memiliki pakej mewah yang boleh dikatakan lengkap.

Penambahbaikan utama yang dilakukan termasuklah menyuntik penampilan lebih segar, bertambah selesa serta aspek keselamatan yang dipertingkat.

Malah, varian F SPORT pula tampil dengan gaya khusus serta penyudah yang menakjubkan untuk menawarkan kepada pengguna keunikan tambahan untuk jalanan.

Menyentuh mengenai aspek rekaan, beberapa ciri telah diperbaharui dan tampil lebih segar untuk melengkapi bayangan gaya coupe menawan yang ada padanya.

Walaupun rekaan spindle grille masih membawakan imej visual khusus Lexus, elemen yang ada padanya telah diubah, dengan semakin berkurang palang melintang dan corak L yang memberi penekanan kepada aliran lateral.

Varian F SPORT mempunyai corak mesh yang terdiri daripada elemen L yang bersilang dengan kemasan metalik gelap. Belahan pada setiap sudut wajah depan juga mengenakan kemasan mesh hitam, tetapi dengan bukaan lebih lebar berbanding dua versi lainnya.

Untuk melengkapi gril depan yang dikemasikini, lampu utama juga menerima sentuhan baru, selain kemasan luaran eksklusif yang turut membabitkan spoiler belakang, di samping F SPORT juga dipasangkan setrim khas 19-inci aloi dengan penyudah Dark Premium Metallic.

Bukan sekadar mewah

Menjengah ke dalam kabin, model yang dipandu uji penulis hadir dengan kemasan aluminium dan sama ada balutan Flare Red.

Rekaan maju pada kokpit telah diberi kemaskini dengan paparan multimedia baru untuk operasi lebih lancar.

Skrin sentuh warna penuh 12.3-inci telah dialih kedudukannya 112 milimeter (mm) lebih dekat dengan penumpang dan dicondongkan lima-darjah ke arah pemandu.

Model terkini ini juga datang dengan generatorion Nanoe-Xyang memperbaiki kualiti udara dalam kabin, model Lexus pertama yang memperkenalkan ciri ini sebagai penawaran standard.

Bagi varian F SPORT, ada ciri eksklusif sebagai penekanan watak lebih sporty padanya. Bahkan jam analog dengan pencahayaan yang ada pada papan pemuka mempunyai grafik bentuk L uniknya sendiri, sementara meternya mempunyai gelung logam elektrik boleh alih dengan kesan 3D.

Stereng tiga-jejari F SPORT balutan kulit, tombol gear yang juga dengan balutan kulit serta pedal sport dan perehat kaki aluminium menjadi sebahagian daripada pakej F SPORT.

Untuk perlindungan lebih baik daripada ditunda atau dicuri, sistem sekuriti pada Lexus ES 250 menyertakan sekali sensor khas. Ini akan mengesan keadaan ketika kenderaan berada dalam kedudukan condong sewaktu ingin ditunda dan siren dengan bateri dalaman tersendiri akan membunyikan penggera.

Dari aspek mekanikal, Lexus ES 250 dikuasakan oleh enjin 2.5 liter DOHC A25A-FKS petrol.

Dengan ciri seperti penyuntik terus multi-lubang, pam minyak dengan kapasiti boleh ubah berterusan, sistem penyejukan boleh ubah dan VVT-iE dalam injap masukan, enjin empat-silinder 16-injap yang telah terbukti kemampuannya ini direka untuk memberikan pecutan lancar serta kecekapan menakjubkan.

Enjin lejang panjang ini menghasilkan 204 kuasa kuda (hp) pada 6,600 rpm dan tork 247 Nm pada 5,000 rpm, yang disalurkan melalui transmisi automatik Direct-Shift 8-kelajuan ke roda depan.

Transmisi ini menggunakan pengubah tork ultra-nipis dan klac multi-plat terkunci, memberikan rasa langsung sistem dual klac dengan kelancaran pengubah tork automatik tradisional.

Enjin maskular dan lancar ini mampu membuatkan Lexus ES 250 mencecah kelajuan maksimum 210 kilometer sejam (km/j) dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat.

Sistem Drive Mode Select pula membolehkan prestasi enjin diberi keutamaan untuk Economy atau Sport, atau diimbangi antara keduanya. Bagi penulis, untuk lebih kuasa dan responsif terutamanya ketika memotong kenderaan lain adalah dengan menggunakan mod Sport.

Pengalaman memandu uji model untuk eksekutif atasan tetapi dengan perwatakan sporty ini mendedahkan penulis kepada daya tujahan atau tork bukanlah sesuatu yang semestinya ada pada sebuah kereta.

Jika anda mementing keselesaan dan rekaan lebih muda, penulis sarankan Lexus ES 250 F SPORT.

Info:

Lexus ES 250 F SPORT

  • Harga bermula RM345,134
  • Enjin 2.5 liter DOHC A25A-FKS petrol
  • Transmisi automatik Direct-Shift 8-kelajuan
  • 204 hp @ 6,600 rpm, tork 247 Nm @ 5,000 rpm
  • Kelajuan maksimum 210 km/j, pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat
  • Hadir dengan Sistem Drive Mode Select merangkumi Economy atau Sport
  • Ciri Lexus Safety System+ (LSS+) sebagai standard merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) datang dengan ciri pengesanan pengayuh basikal waktu siang melalui radar gelombang milimeter dan sensor kamera monokular; Pengesanan pejalan kaki dalam keadaan pencahayaan tertentu turut diperbaiki dengan cara meningkatkan sensitiviti dan julat dinamik kamera; Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan Fungsi Start & Go; Bantuan Pengekalan Lorong; Bantuan Mengesan Lorong (LTA) dan Amaran Penukaran Lorong (LDA); dan Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS)
  • Amaran Lalu Lintas Trafik di Belakang (RCTA) dan Brek Sokongan Parkir (PKSB)
Berita Harian X