Selasa, 12 April 2022 | 3:46pm
Model van elektrik kompak BYD T3
Model van elektrik kompak BYD T3

CSH Alliance pengedar van elektrik komersial BYD

KUALA LUMPUR: CSH Alliance Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Alliance EV Sdn Bhd (AEV) dilantik oleh BYD Malaysia Sdn Bhd sebagai pengedar van elektrik komersial.

Pelantikan oleh BYD itu menyusuli memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kedua-dua syarikat bulan lalu untuk bekerjasama mengedarkan van elektrik komersial, model BYD T3.

BYD T3 adalah van kompak 100 peratus elektrik dengan penggunaan tenaga rendah dan prestasi tinggi.

Pemanduan elektrik tulen, motor elektrik berkuasa dan gear automatik menjadikan kenderaan itu mudah dikendalikan, namun kos penyelenggaraannya adalah rendah.

Dikuasakan oleh bateri NCM proprietari BYD dengan kapasiti 50.3kWh, kenderaan yang menghasilkan emisi sifar terbabit meluncur senyap dengan jarak perbatuan sehingga 300 kilometer sekali caj.

Van elektrik yang menawarkan ruang kargo yang luas sehingga 3.8 meter padu (m3) dan muatan 780 kilogram (kg), BYD T3 dijangka dapat memenuhi keperluan logistik dan pengangkutan bandar dengan penjimatan bahan api.

Pengarah Eksekutif CSH Alliance, Peter Yap, berkata menerusi pengedaran dan pemasangan van komersial elektrik sepenuhnya tidak lama lagi, AEV menyasar untuk membantu kerajaan mencapai misi pelepasan sifar dan membina perniagaan melalui pendekatan perniagaan Alam Sekitar, Lestari dan Tadbir Urus (ESG).

"Kami menjangkakan maklum balas positif daripada peserta logistik dan pengangkutan dalam menggunakan kenderaan elektrik bagi menggantikan kenderaan bahan api atau gas konvensional yang menjejaskan alam sekitar.

"Ketika ini, kami sudah memiliki pelanggan yang komited yang menyatakan hasrat untuk membeli 100 unit van elektrik ini," katanya.

Yap berkata, sebagai sebahagian daripada pelan strategik AEV, syarikat itu juga berhasrat untuk membina kilang pemasangan tempatan (CKD) atau atau kilang pemasangan sepenuhnya untuk mengurangkan kos kenderaan EV dan selain dapat menyokong perniagaan tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

"Selain itu, AEV juga merancang untuk membangunkan ekosistem kenderaan elektrik yang merangkumi 4S (jualan, perkhidmatan, alat ganti serta perkhidmatan badan dan cat), mewujudkan stesen pengecasan, membekalkan kepelbagaian tenaga ke panel solar untuk menyediakan penyelesaian kenderaan elektrik hujung ke hujung kepada pengguna," katanya.

Berita Harian X