Isnin, 4 April 2022 | 11:29am
PROTON merekodkan jualan 13,028 unit pada Mac 2022 - Foto ihsan PROTON
PROTON merekodkan jualan 13,028 unit pada Mac 2022 - Foto ihsan PROTON

Jualan kereta PROTON meningkat bulan lalu

SUBANG JAYA: Jualan PROTON terus pulih pada Mac 2022 dengan 13,028 unit kenderaan dijual, meningkat 41.2 peratus berbanding Februari 2022, menjadikan unjuran pegangan pasaran sebanyak 19 peratus.

Namun begitu, pengeluar kereta nasional itu berdepan suku pertama yang mencabar tahun ini dengan jualan terkumpul dari Januari hingga Mac berada pada 26,706 unit, berkurang sebanyak 18.6 peratus, sementara pegangan pasaran terkumpul sebanyak 17.5 peratus, merosot 5.7 peratus berbanding suku pertama 2021.

Penurunan jumlah jualan pada suku itu berikutan beberapa masalah seperti vendor tempatan yang terjejas akibat banjir, gangguan logistik dan kekurangan cip.

PROTON dalam satu kenyataan berkata, walaupun jumlah jualan untuk Mac turun sebanyak 13 peratus berbanding bulan yang sama pada 2021, penjualan Proton Saga, model yang terjejas teruk pada Januari, mencecah 6,422 unit pada Mac, pencapaian terbaik sejak November 2013, sekali gus menjadikan Saga sebagai peneraju jualan untuk sedan segmen A dan juga model segmen-A terlaris secara keseluruhan.

Ia berkata, pertumbuhan dalam jualan eksport telah membantu memperkasakan jualan Saga.

"Syarikat mencapai angka jualan eksport tertinggi dalam tempoh 108 bulan dengan sejumlah 794 unit (terdiri daripada pelbagai model) yang dieksport pada Mac.

"Pakistan adalah pasaran eksport terbesar bulan ini dengan 690 unit manakala jumlah keseluruhan eksport suku pertama sebanyak 1,117 unit, peningkatan 175 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu," katanya.

PROTON berkata, bagi model lain, Proton X70, Proton X50 dan Proton Exora mengekalkan kedudukan dalam segmen masing-masing dengan jualan 2,320 unit, 1,573 unit dan 536 unit.

Sementara itu, Proton Persona dan Proton Iriz menduduki tempat ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing akibat persaingan sengit dan kekurangan alat ganti yang terus menjejaskan jualan, katanya.

"Tiga bulan pertama 2022 sangat mencabar bagi PROTON dan pelanggan kami. Isu pengeluaran yang berterusan menindas potensi sebenar kami yang mengakibatkan senarai menunggu yang panjang.

"Bekalan alat ganti kami dan jumlah pengeluaran mula stabil pada Mac tetapi kami menjangkakan beberapa lagi gangguan dalam beberapa bulan akan datang apabila industri lain meningkatkan pengeluaran mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

Bagaimanapun, beliau berkata, sepanjang tahun ini, PROTON masih bermatlamat untuk mencapai sasarannya dengan kerjasama dari vendor dan pengedar bagi melancarkan rangkaian bekalan untuk menyampaikan kereta kepada pelanggan.

"Kami juga menunjukkan perkembangan dalam menyelesaikan isu selepas jualan kami dan oleh itu, syarikat yakin boleh pulih dengan kukuh pada suku berikutnya," katanya.

Berita Harian X