Isnin, 28 March 2022 | 9:04am
Pembelian dan penjualan kenderaan adalah elemen penting dalam komponen ekonomi domestik - Foto hiasan
Pembelian dan penjualan kenderaan adalah elemen penting dalam komponen ekonomi domestik - Foto hiasan

Lanjut pengecualian SST kereta wajar dipertimbang

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mempertimbangkan langkah melanjutkan tempoh pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijadual berakhir pada 30 Jun ini kerana impaknya yang besar memastikan pemulihan ekonomi lebih stabil berbanding kehilangan sumber cukai.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata pembelian dan penjualan kenderaan adalah elemen penting dalam komponen ekonomi domestik.

Beliau menjelaskan, harga jualan setiap kenderaan memberikan sumbangan besar kepada pusingan ekonomi domestik, iaitu bersamaan dengan jualan rumah dalam industri hartanah.

"Kesan lanjutan SST ini bukan saja memberikan galakan jualan pengeluar tempatan seperti PROTON dan PERODUA tetapi juga rantaian nilai bekalan, iaitu vendor pembekal alat ganti, pengangkutan dan logistik.

"Dari sudut sosial pula, ia memberikan peluang kepada rakyat memiliki kenderaan pada harga yang mampu milik," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Aimi Zulhazmi berkata, sebagai negara yang bergantung pendapatannya daripada hasil cukai, pengecualian ini sudah tentu memberikan kesan kepada kerajaan.

Namun, beliau berkata, Bajet 2022 dirangka bertujuan mengembangkan serta memulihkan ekonomi daripada impak pandemik COVID-19, justeru pengecualian itu tidak memberikan kesan yang besar kerana kerajaan masih lagi mengumpulkan cukai jalan daripada semua jenis kenderaan yang aktif dan berdaftar.

Beberapa syarikat pengeluar kenderaan sebelum ini dilaporkan sedang melobi kerajaan supaya melanjutkan lagi tempoh pengecualian SST.

Walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi separuh pertama 2022 berkemungkinan kekal kukuh, dipacu terutama oleh tempoh cuti SST dan tempahan tertunggak yang tinggi, prestasi pada separuh kedua tahun ini dijangka lebih lemah pasca pengecualian SST, khususnya pada Julai.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini melaporkan TIV bagi Februari meningkat 7.7 peratus kepada 43,722 unit berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pengecualian SST bagi pembelian kenderaan adalah isu yang penting dalam memastikan pemulihan ekonomi negara.

Beliau berkata, industri automotif adalah antara yang sektor sedang meningkat naik di Malaysia dengan banyak syarikat rantaian nilai industri berada di negara ini.

Malah, katanya, data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Januari 2022 turut menunjukkan jualan kenderaan motor merangkumi jualan kenderaan, alat ganti dan pembaikan meningkat 19.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia, katanya, secara langsung menunjukkan peningkatan yang positif dan petanda pemulihan yang ketara untuk industri automotif.

"Disebabkan itu, pengecualian SST boleh membantu menyumbang ke arah pendapatan yang lebih positif.

"Namun, jika kerajaan memutuskan tiada lagi lanjutan SST, secara dasarnya, industri ini masih lagi menjana pendapatan yang mampan, memandangkan ia masih mempunyai permintaan yang tinggi daripada pembeli," katanya.

Berita Harian X