Khamis, 10 March 2022 | 2:05pm
(Dari kiri) Model baharu 150cc Suzuki GSX-S150, Raider R150 Fi dan GSX-R150 dilancarkan di Putrajaya, hari ini - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
(Dari kiri) Model baharu 150cc Suzuki GSX-S150, Raider R150 Fi dan GSX-R150 dilancarkan di Putrajaya, hari ini - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Suzuki tampil tiga motosikal baharu 150cc

PUTRAJAYA: Suzuki Malaysia memperkenalkan tiga jentera bersaiz kecil 150cc, sekali gus menandakan kemunculan semula jenama Jepun itu ke dalam pasaran motosikal bersaiz kecil di Malaysia.

Tiga model baharu itu disasarkan kepada golongan yang lebih muda dan mahu mencari motosikal kegunaan harian yang dilengkapi dengan teknologi terkini, paling ringan dan prestasi menyeluruh terbaik.

Antara model yang mencuri tumpuan adalah pengenalan Suzuki GSX-R150 dan GSX-S150 yang masing-masing ditawarkan pada harga disyorkan atas jalan tanpa insurans RM11,329 dan RM10,289.

Mengenai GSX-R150, ia mendapat rekaan reraup penuh yang menawarkan nisbah kuasa-kepada-berat serta pecutan yang terbaik di dalam kelasnya.

GSX-R150 juga turut menggunakan kepingan panel badan dan reraup yang kuat, serta lebih ringan berbanding pesaingnya. Menggandingkan rekaan tersebut dengan ketinggian pelana rendah menawarkan kedudukan tunggangan yang lebih sporty khusus untuk peminatnya.

Sementara itu, GSX-S150 turut berkongsi prestasi yang serupa namun dengan tema 'naked bike', bar hendal tradisional, serta ketinggian pelana yang lebih rendah untuk prestasi tunggangan lebih selesa.

Sama seperti GSX-R150, GSX-S150 hadir dengan ciri standard seperti paparan kluster instrumen LCD, serta rekaan lampu utama yang disusun menegak.

Kedua-dua model ini menggunakan enjin 150 cc sejukan cecair, empat injap, 'Double Overhead Camshaft' (DOHC) yang mampu mencapai pecutan hebat dan kelajuan maksimum sambil meningkatkan rasa kelajuan yang terbaik.

Model ketiga yang dibawa masuk Suzuki Malaysia ialah Raider R150 Fi yang ditawarkan pada harga disyorkan atas jalan tanpa insurans RM8,173.

Menggunakan enjin 'bucket-tappet' DOHC empat injap 150cc, ia menjadi nadi yang paling berkuasa pernah dipasang pada Raider R150 Fi.

Silinder bersalut SCEM (Suzuki Composite Electrochemical Material) yang digunakan dalam motosikal sports besar Suzuki turut digunakan pada Raider bagi memastikan penunggang dilindungi daripada deformasi haba dan dalam masa yang sama mengurangkan geseran.

Tunggangan malam kini lebih selamat di mana Raider R150 Fi dilengkapi dengan mentol LED untuk suluhan rendah dan tinggi.

Ia bukan hanya meningkatkan tahap penglihatan, malah mempunyai jangka hayat yang lebih lama dan menggunakan tenaga yang rendah.

Berita Harian X