Khamis, 24 Februari 2022 | 8:23pm
Modenas Karisma 125S
Modenas Karisma 125S

Modenas Karisma 125S berwajah baharu

KUALA LUMPUR: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) memperkenalkan reka bentuk terbaharu skuter Modenas Karisma 125S ke pasaran tempatan yang ditawarkan pada harga tanpa insurans dan cukai jalan yang disyorkan RM5,397.

Model baharu yang akan berada di semua wakil pengedar MODENAS yang sah bermula hari ini dilengkapi dengan enjin 4-lejang bersesaran 124.8cc, silinder tunggal yang menepati piawaian 'Energy Efficient Vehicles (EEV)' serta EURO 4.

Karisma 125S baharu ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 7.0 kW pada 7500 rpm dan tork 10Nm pada 6000 rpm.

Dengan sistem suntikan bahan api serta tangki minyak 5.1 liter, skuter ini sememangnya memberikan penjimatan dalam tunggangan.

Dari aspek kosmetik, Karisma 125S yang ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu 'Mystic Red', 'Duchess Gold' dan 'Aqua Blue' tampil dengan reka bentuk luaran serba baharu yang kelihatan futuristik dan 'sporty'

Ia dipadankan dengan skema warna, grafik baharu serta beberapa ciri tambahan pada skuter ini menjadikannya tarikan baharu kepada mereka yang menggemari konsep 'gaya hidup bandar'.

Menyentuh mengenai teknologi, skuter ini menggunakan lampu jenis LED yang juga didatangkan dengan lampu nyalaan siang (DRL).

Ciri lain ialah lampu isyarat hadapan dan belakang juga dari jenis LED yang sememangnya amat bergaya dan reka bentuk meter moden dipadankan dengan tolok aras bahan api digital yang mudah dilihat oleh penunggang, manakala sistem kunci pula dilengkapi dengan suis buka tempat duduk yang moden.

Untuk ini keselesaan dan praktikaliti, Karisma 125S menawarkan ruang simpanan 14 liter yang cukup besar di bawah tempat duduk yang ergonomik dan dua ruang simpan kecil pada bahagian hadapan yang membolehkan anda membawa apa sahaja barangan.

Skuter ini juga dilengkapi dengan soket pengecas USB yang dipasang secara strategik pada papan pemuka, yang membolehkan penunggang mengecas telefon pintar.

Karisma 125S juga dilengkapi dengan dengan lampu kecemasan atau 'hazard lights' yang amat membantu semasa kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, berkata sambutan untuk motosikal skuter pada masa kini sedang meningkat, dan sebagai syarikat pengeluar motosikal, ia tidak akan melepaskan potensi pasarannya.

"Dengan adanya produk terbaharu ini, MODENAS dapat mengembangkan lagi pasaran skuter di Malaysia. Dengan reka bentuk yang baharu, dilengkapi dengan teknologi serba moden serta harga yang ditawarkan mampu milik, saya percaya bahawa skuter ini mampu menambat hati mereka yang membelinya," katanya.

Karisma mula dilancarkan pada Ogos 2003, ketika MODENAS mula memasuki segmen skuter.

Sejak itu ia mendapat sambutan hangat dan dikenali sebagai skuter 125cc yang berbaloi serta mampu milik.

Pada 2016, model naik taraf telah dilancarkan dan sebelum MODENAS kembali melancarkan model terbaharu Karisma 125S tahun ini.

Berita Harian X