Jumaat, 18 Februari 2022 | 3:22pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo pada majlis penghargaan media di Kuala Lumpur
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo pada majlis penghargaan media di Kuala Lumpur

Honda Malaysia sasar jual 80,000 unit kereta

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia menyasarkan jualan melebihi 80,000 unit tahun ini, disokong pemulihan industri selepas merekodkan jualan memberangsangkan 53,031 unit tahun lalu meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk COVID-19 dan banjir.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Madoka Chujo, berkata pengeluar jenama Honda di Malaysia itu optimis untuk mencapai sasaran jualan dipacu pengenalan dua model serba baharu tahun ini, di samping strategi mengukuhkan perkhidmatan selepas jualan.

"Kami memulakan 2022 disokong momentum kukuh yang diperoleh daripada pelancaran City Hatchback serba baharu pada Disember 2021.

"Model ini meningkatkan penanda aras dalam segmen B-hatchback, menawarkan teknologi termaju iaitu e:HEV, Honda SENSING dan Honda CONNECT," katanya pada majlis penghargaan media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Chujo berkata, Honda Malaysia memulakan 2022 dengan cemerlang menerusi pelancaran Civic serba baharu bulan lalu, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam segmen C.

"Sejak pelancaran model ini, kami memperoleh momentum jualan yang baik walaupun berdepan cabaran tempoh pemulihan banjir baru-baru ini," katanya.

Beliau menambah, Honda Malaysia turut merancang untuk mengembangkan varian RS e:HEV unik dalam barisan model masa depan syarikat, selain menawarkan model yang memberikan penjimatan bahan api sangat baik dan pelepasan karbon rendah, tetapi menawarkan pengalaman 'sporty' serta menyeronokkan.

"Sebagai tambahan kepada pelancaran model baharu dan rancangan pemasaran, Honda Malaysia mempercepatkan lagi pengembangan perniagaan dengan memperkenalkan program baharu untuk mengujakan pasaran.

"Buat pertama kalinya, Honda Malaysia menceburi perniagaan 'Kereta Terpakai Honda Certified' untuk menyediakan satu lagi pilihan kepada pelanggan membeli kereta Honda pilihan mereka," katanya.

Honda Malaysia meraih pencapaian luar biasa apabila mengekalkan kedudukan nombor satu dalam segmen kereta penumpang bukan nasional untuk tahun kelapan berturut-turut sejak 2014.

Tahun lalu, Honda Malaysia menjual 53,031 unit walaupun berdepan pelbagai tempoh yang sukar, sekali gus menyumbang 10.4 peratus bahagian pasaran kepada jumlah keseluruhan industri (TIV).

Wilayah Tengah menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah jualan pada 2021 dengan lebih dari 25,000 unit terjual, diikuti oleh wilayah Selatan dan wilayah Utara masing-masing lebih daripada 9,800 dan 9,100 unit.

Honda City, HR-V dan CR-V adalah model terlaris, masing-masing menyumbang 36 peratus, 21 peratus dan 14 peratus kepada jumlah keseluruhan jualan.

Berita Harian X