Jumaat, 11 Februari 2022 | 1:42pm
Yamaha MT-09.
Yamaha MT-09.

MT-09: Lebih ringan, pantas, agresif

SEJAK diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 2015, model motosikal 'hyper naked' Yamaha MT-09 kekal popular dalam kalangan peminat motosikal di negara ini, sehinggakan ia sering dijadikan penanda aras dan perbandingan dari segi kuasa, rupa bentuk serta harga dengan motosikal genre sama keluaran pesaing.

Meneruskan kegemilangan itu, Hong Leong Yamaha Malaysia (HLYM) pada tahun lalu memperkenalkan versi baharu model berkenaan boleh dikatakan lebih 80 peratus berbeza atau baharu berbanding versi sebelumnya.

Berpeluang menunggang uji versi terbaharu ini, ternyata ia lebih 'jinak' berbanding yang sebelumnya namun lebih agresif dan berkuasa. Apa tidaknya, versi baharu ini dilengkapi rangka aluminium yang lebih ringan, lengan ayun yang direka semula lebih sporty, pembaharuan pada enjin yang menghasilkan tork yang lebih tinggi serta pelbagai komponen elektronik bantuan tunggangan.

Dari segi rupa bentuk, ia tampak agresif dengan lampu LED seperti 'cyclops' yang diapit oleh sepasang lampu nyalaan siang, menggantikan lampu berkembar pada model sebelum ini. Lampu LED belakang pula memaparkan grafik 'Y' yang menarik.

Enjin pada versi baharu ini kekal dijana oleh enjin Crossplane tiga silinder (CP3) dengan teknologi penyejukan cecair, tetapi kapasiti sesaran dipertingkatkan kepada 889cc berbanding 847cc pada yang sebelumnya.

Enjin ini menjana kuasa 119 PS pada 10,000 rpm dengan tork 93 Nm pada 7,000 rpm, peningkatan sebanyak 4.0 PS dan 5.5 Nm berbanding versi sebelumnya.

Dari segi bantuan tunggangan elektronik pula, MT-09 dilengkapi dengan unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi yang merangkumi tiga ciri bantuan penunggang iaitu Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS) dan Front-Wheel Lift Control System (LIF).

Turut disertakan adalah sistem anjakan tukaran gear (quick shifter) pantas ke atas dan ke bawah untuk pecutan mantap atau penukaran gear yang lebih lancar semasa memperlahankan motosikal untuk memberikan kestabilan dan kawalan lebih baik semasa membelok.

Kuasa MT-09 versi baharu meningkat kepada 117 bhp berbanding 113 bhp pada yang sebelumnya. - NSTP/Hazreen Mohamad
Kuasa MT-09 versi baharu meningkat kepada 117 bhp berbanding 113 bhp pada yang sebelumnya. - NSTP/Hazreen Mohamad

Lampu LED ala ‘cyclops’ oleh sepasang lampu nyalaan siang. - NSTP/Hazreen Mohamad
Lampu LED ala ‘cyclops’ oleh sepasang lampu nyalaan siang. - NSTP/Hazreen Mohamad

Komponen elektronik berserta system 'throttle-by-wire' seperti yang diadaptasi daripada model sportbike R1, menjadikan setiap kali pendikit dipulas hasilkan pecutan yang amat lancar dan tepat. Paparan maklumat pada panel TFT berwarna bersaiz 3.5 inci juga walaupun tidak besar tetapi ia jelas.

Dari segi tunggangan, rangka aluminium dan lengan ayun baharu ternyata membolehkan penunggang mengambil selekoh dengan lebih tepat. Casisnya yang lebih padat, 2.3 kilogram (kg) lebih ringan berbanding versi sebelumnya menjadikannya lebih lincah.

Sementara itu fork depan yang pendek, meningkatkan kestabilan apabila bebanan berat lebih diletakkan pada roda hadapan. Meskipun keadaan ini sering menimbulkan masalah lain iaitu handel hadapan akan lebih berat, namun Yamaha bertindak bijak dengan menaikkan handel MT-09 ini lebih tinggi dan mengekalkan posisi penunggang yang menegak. Ia sememangnya lebih selesa.

Lampu LED belakang memaparkan grafik ‘Y’. - NSTP/Hazreen Mohamad
Lampu LED belakang memaparkan grafik ‘Y’. - NSTP/Hazreen Mohamad

Dari segi enjinnya, versi baharu MT-09 dilengkapi piston, conrod, cams, kotak enjin, klac serta kotak gear yang baharu. Kuasa MT-09 ini meningkat kepada 117 bhp berbanding 113 bhp pada versi sebelumnya.

Kuasa henti MT-09 tidak pernah menjadi isu pada versi sebelumnya, meskipun begitu, ia terus dipertingkatkan pada versi baharu ini dengan silinder induk Nissin, kaliper 4-piston Advics dan rotor 320mm yang 'dipinjam' daripada R1.

Kesimpulannya, jika versi Master Torque (MT) sebelum ini ternyata diyakini dan baik, MT-09 terbaharu ini adalah lebih baik, berkuasa dan agresif. Dengan harga ditawarkan pada RM54,988, HLYM seolah-olah mempertaruhkan model hypernaked yang mampu milik, ringan, pantas dan menyeronokkan kepada peminat motosikal di negara ini. Ia tentunya sesuatu yang menarik dan MT-09 versi baharu menjadi antara model naked bike yang wajar dipertimbangkan dalam membuat pilihan.

Rangka aluminium, lengan ayun baharu yang lebih ringan. - NSTP/Hazreen Mohamad
Rangka aluminium, lengan ayun baharu yang lebih ringan. - NSTP/Hazreen Mohamad

Enjin Crossplane 3-silinder (CP3) 889cc. - NSTP/Hazreen Mohamad
Enjin Crossplane 3-silinder (CP3) 889cc. - NSTP/Hazreen Mohamad

Handel tinggi, mengekalkan posisi tunggangan menegak. - NSTP/Hazreen Mohamad
Handel tinggi, mengekalkan posisi tunggangan menegak. - NSTP/Hazreen Mohamad

Spesifikasi:

Enjin: 889cc, 3 silinder, 4 strok, sejukan cecair, DOHC, 4 injap

Bore X Stroke: 78.0mm X 62.1mm

Kuasa maksimum: 87.5 kW (119PS) @ 10,000rpm

Tork maksimum: 93Nm (9.5 kgm) @ 7,000rpm

Transmisi: 6 kelajuan

Jenis rangka: Aluminium mampat

Nisbah mampatan: 11.5:1

Sistem bahan api: Suntikan elektronik multipoint sequential

Ekzos: 3-1

Suspensi hadapan: Fork 41mm, USD, boleh laras

Suspensi belakang: Single shock, spring preload, rebound damping adj.

Roda hadapan: 17 x 3.5 inci

Roda belakang: 17 x 5.5 inci

Brek hadapan: Twin 298mm cakera terapung, 4 piston radial mount kaliper, Cornering ABS

Brek belakang: Cakera tunggal 245mm disc, 2 piston sliding kaliper, Cornering ABS

Tinggi ke tempat duduk: 32.5 inci

Berat kering: 189 kg

Kapasiti tangki: 14 liter

Berita Harian X