Isnin, 7 Februari 2022 | 7:53pm
Lebih 1,200 kenderaan PROTON yang terjejas banjir diterima di pusat servis rasmi syarikat - Foto ihsan PROTON
Lebih 1,200 kenderaan PROTON yang terjejas banjir diterima di pusat servis rasmi syarikat - Foto ihsan PROTON

Banjir jejas prestasi jualan PROTON pada Januari

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan PROTON pada Januari menurun kepada 4,453 unit (untuk jualan domestik dan eksport), pengurangan sebanyak 25.3 peratus dari bulan yang sama pada 2021 dengan anggaran pegangan pasaran domestik sebanyak 11.3 peratus.

Ia mengaitkan penurunan itu berpunca daripada kesan banjir yang teruk di Selangor pada penghujung 2021.

"Walaupun kilang pengeluaran PROTON di Shah Alam dan Tanjung Malim tidak terjejas akibat banjir pada bulan Disember, vendor syarikat pula tidak bernasib baik. Ramai yang mempunyai kemudahan pengeluaran di Shah Alam terjejas oleh peningkatan air banjir.

"Ini mempunyai kesan langsung ke atas jumlah pengeluaran pada Januari, yang menyebabkan kekurangan unit untuk memenuhi pesanan. Keadaan ini ditambah lagi dengan lebihan stok yang minimum dari bulan sebelumnya kerana syarikat sedang berusaha untuk merapatkan jurang antara bekalan dan permintaan pasaran.

"PROTON, bagaimanapun, yakin dapat mencapai sasaran kami untuk 2022 berdasarkan unjuran pasaran serta rancangan jualan dan pemasaran untuk sepanjang tahun ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

Antara semua model, Proton X50 dan Proton X70 adalah model pertama yang memulakan semula pengeluaran dan ini dapat dilihat dalam jumlah jualan Januari.

Sebanyak 2,601 unit Proton X50 dan 799 unit Proton X70 dijual pada bulan lalu dan walaupun jumlah individu adalah sederhana berbanding bulan sebelumnya, jualan gabungan kedua-dua model meletakkan PROTON sebagai jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) nombor satu di Malaysia.

Satu setengah bulan selepas banjir pada Disember yang mengejutkan negara, lebih 1,200 kenderaan PROTON yang terjejas banjir diterima di pusat servis rasmi syarikat.

Ia kemudiannya dibahagikan kepada empat kategori, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami, sebelum penilaian dibuat dan pembaikan dijalankan.

"PROTON ingin mengingatkan semua pelanggan yang mempunyai kereta yang terjejas akibat banjir supaya menghantar kenderaan mereka ke rangkaian pusat perkhidmatan rasmi kami untuk menikmati manfaat seperti perkhidmatan menunda dan mencuci kereta percuma serta diskaun alat ganti dan caj buruh. Kami juga berterima kasih kepada kerajaan atas baucar bantuan RM1,000, yang terbukti amat bernilai untuk ramai pelanggan kami," kata Roslan.

-BERNAMA

Berita Harian X