Sabtu, 29 Januari 2022 | 10:00am
Lebih ringan, padat, berkuasa dan mudah dikawal. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN
Lebih ringan, padat, berkuasa dan mudah dikawal. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN

Monster lebih mesra penunggang

KUALA LUMPUR: Selepas hampir 30 tahun model M900 diperkenalkan di peringkat global iaitu pada 1993, Ducati Monster adalah antara model motosikal berkuasa tinggi terlaris. Ia juga antara model awal yang meningkatkan minat pengguna terhadap genre motosikal 'naked' atau 'naked bike'.

Gayanya yang unik dan ringkas dengan rangka trellis, enjin 90 darjah V-Twin (Ducati lebih gemar menyatakannya sebagai L-Twin) penyejukan udara, tangki minyak bujur besar dan posisi penunggang yang menegak menampilkan konsep tunggangan harian yang lebih agresif dan mudah khususnya di lorong sempit dan jalan yang sibuk seperti di pusat bandar.

Setelah pelbagai versi Monster telah berada di pasaran sejak era 90an - 696, 797, 821 dan 1200.

Bagaimanapun pada tahun lalu Ducati telah menggantikannya dengan versi tunggal serba baharu yang lebih ringan dengan enjin 937cc.

Dari segi rupa bentuk dan enjin, ternyata Ducati ingin membawa pembaharuan yang lebih segar pada Monster terkininya.

Tanpa rangka trellis, sebaliknya dilengkapi casis aluminium/komposit seperti Panigale. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN
Tanpa rangka trellis, sebaliknya dilengkapi casis aluminium/komposit seperti Panigale. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN

Tanpa rangka ikonik treliss, motosikal yang tampak lebih kecil dan padat - tentunya ia mencetuskan pelbagai kritikan. Namun adakah Monster terbaharu ini benar-benar Monster? Itu yang menjadi persoalan.

Berpeluang menunggang uji Monster terkini, sumbangan pengedar rasminya di Malaysia iaitu Next Bike Sdn Bhd di bawah Kumpulan Naza, ternyata ia adalah 'Monster' tetapi dengan penampilan dan prestasi berbeza, malah dirasakan lebih baik dan mudah dikendalikan.

Ia amat sesuai untuk pelbagai profil penunggang Asia sama ada lelaki atau wanita, baru atau lama.

Lebih ringan

Monster ini dipadankan enjin baharu iaitu 937cc L-twin Testastretta 11°. Enjin sama seperti pada Ducati SuperSport, Multistrada 950 and Hypermotard 950, yang mana sudah terbukti dari segi prestasinya.

Kapasitinya adalah lebih besar berbanding monster sebelumnya iaitu 821cc, namun begitu ia adalah 2.4 kilogram (kg) lebih ringan.

Enjin ini mampu menghambur 111 kuasa kuda (hp) pada 9,250 rpm, manakala tork puncak pula 93 Nm pada hanya 6,500 rpm.

Perubahan terbesar adalah Monster baharu ini tidak didatangkan dengan rangka trellis sebaliknya casis aluminium/komposit bahagian atas yang lebih ringan seperti pada model Ducati Panigale.

MG091221AC024.jpg - Disediakan 3-mod tunggangan, ABS Cornering, Traction Control, Launch Control serta Wheelie Control. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN
MG091221AC024.jpg - Disediakan 3-mod tunggangan, ABS Cornering, Traction Control, Launch Control serta Wheelie Control. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN

Motosikal ini secara dasarnya telah direka semula sepenuhnya daripada sub-kerangka, rim, swingarm kerangka atas yang mana kini menjadi kerangka depan aluminium dengan enjin load-bearing, konsep sama digunakan bagi model Panigale V4.Rangka baharu ini juga membolehkan pusingan handel yang lebih luas dan memudahkan penunggang mengawal motosikal pada ruang sempit.

Monster baharu ini juga adalah 18 kg lebih ringan berbanding yang sebelumnya. Kombinasi badan yang ringan dan enjin yang amat berkuasa tentunya menghasilkan gaya tunggangan lebih agresif dan pecutan yang lebih padu.

Enjin sama seperti pada Ducati SuperSport, Multistrada 950 and Hypermotard 950. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN
Enjin sama seperti pada Ducati SuperSport, Multistrada 950 and Hypermotard 950. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN

Komponen teknologi tinggi

Turut memudahkan tunggangan dan pecutan, kotak gear baru dilengkapi Ducati Quick Shift Up/Down yang membolehkan penukaran gear lebih lancar tanpa menggenggam klac. Jika Monster 821 agak sukar untuk menukar ke gear neutral ketika dalam kedudukan pegun, namun ia amat mudah pada Monster baharu ini.

Dari aspek reka bentuk, Ducati telah mentafsir semua elemen utama Monster seperti tangki bahan api 'bison-back', lampu depan bulat, ekor belakang yang lebih tirus dan bahagian tengah enjin yang ramping, justeru menghasilkan bentuk lebih kontemporari.

Tahap kedudukan penunggang atau ergonomik jentera ini juga dipertingkatkan dengan tempat duduk lebih dekat dengan hendal sekali gus membolehkan penunggang berada dalam posisi menegak dengan bebanan lebih rendah pada pergelangan tangan dan dapat mengawal Monster dengan baik.

Bentuk badan lebih kecil dan ramping sesuai untuk pelbagai profil penunggang. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN
Bentuk badan lebih kecil dan ramping sesuai untuk pelbagai profil penunggang. - Foto NSTP/OWEE AH CHUN

Selain itu, peralatan elektronik standard yang didatangkan bersama model ini membolehkan prestasinya menjadi lebih baik dengan keselamatan aktif dan ABS Cornering, Traction Control serta Wheelie Control, yang mana semuanya boleh dilaras dengan tahap intervensi berbeza.

Karakter sporty jentera ini diperkemaskan lagi dengan Launch Control bagi membolehkan ia dihidupkan dengan lebih pantas.

Dari aspek tunggangan, Monster didatangkan dengan tiga mod iaitu Sport, Urban dan Touring yang akan membentuk karakter mengikut keperluan penunggang.

Penghantaran tenaga juga sangat lancar dengan bantuan Smart Power Modes, yang menyediakan keluk tork khusus pada gear pertama dan kedua (Urban dan Touring) atau dalam gear pertama (Sport), sekali gus memudahkan tunggangan.

Meskipun tinggi tempat duduk Monster ini tidak boleh dilaraskan iaitu 820 milimeter (mm), yang mana lebih tinggi 10 mm berbanding 821, namun ia tidak menjadi masalah kepada penulis yang berketinggian 162 sentimeter (cm).

Ditawarkan pada harga yang amat menarik iaitu RM69,900, Ducati Monster baharu ini adalah antara model yang wajar dipertimbangkan oleh peminat 'Naked Bike'.

Ducati Monster baharu tampil perubahan besar berbanding model sebelumnya.- Foto NSTP/OWEE AH CHUN.
Ducati Monster baharu tampil perubahan besar berbanding model sebelumnya.- Foto NSTP/OWEE AH CHUN.

Spesifikasi:

Enjin: 937cc V2 - 90° Testatretta 11°, 4 Valves Per Cylinder, Desmodromic Valvetrain, Liquid Cooled

Kuasa: 110bhp / 82kW @ 9250rpmTork: 93Nm @ 6500rpm

Transmisi: 6-kelajuan dengan Ducati Quickshift

Saiz tangki: 14 liter

Bantuan tunggangan: 3-mod (Sport, Tour, Urban), cornering ABS, traction control, wheelie control, launch control dan up/down quickshifter

Rangka: Aluminium Alloy Front Frame

Suspensi hadapan: 43mm USD fork

Suspensi belakang: Progressive linkage monoshock

Brek hadapan: Brembo M4.32 Monobloc 4-piston callipers, 2 x 320mm semi-floating discs

Brek belakang: Brembo 2-piston floating calliper, 245mm single disc

Berat: 188kg.

Berita Harian X