Khamis, 20 Januari 2022 | 2:18pm
Pemulihan berterusan ekonomi di seluruh dunia pasca COVID-19 mendorong lonjakan industri automotif - Foto Reuters
Pemulihan berterusan ekonomi di seluruh dunia pasca COVID-19 mendorong lonjakan industri automotif - Foto Reuters

Jualan kereta di Malaysia dijangka terus bertambah

KUALA LUMPUR: Industri automotif negara akan terus pulih dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) dijangka melonjak kepada 600,000 unit tahun ini, sebelum diunjurkan berkembang 7.5 peratus kepada 645,000 unit pada 2023.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata industri dijangka terus melonjak dalam tempoh lima tahun akan datang, disokong pemulihan berterusan ekonomi di seluruh dunia pasca COVID-19.

Bagi tempoh 2024 hingga 2026, katanya, TIV dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan dengan purata 2.0 hingga 2.2 peratus masing-masing kepada 657,900 unit (2024), 671,700 unit (2025) dan 686,500 unit (2026).

"MAA menjangkakan bermula tahun ini, industri automotif tempatan dijangka mencatat pemulihan dan kembali ke landasan tepat untuk terus berkembang. Ekonomi global dijangka melantun semula pasca pandemik selepas ekonomi di seluruh dunia dibuka semula.

"Pasaran automotif tempatan dijangka rancak bermula tahun ini disokong lanjutan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga akhir Jun," katanya pada sidang media selepas pengumuman prestasi industri automotif bagi 2021 secara maya, hari ini.

Tahun lalu, industri automotif tempatan mencatatkan jualan melebihi 500,000 unit meskipun berdepan cabaran akibat sekatan pergerakan akibat COVID-19 dan kekurangan cip semikonduktor.

Pada 2021, industri mencatatkan TIV sebanyak 508,911 unit, tinggi sedikit berbanding unjuran MAA pada 22 Julai 2021, tetapi susut 3.9 peratus daripada 529,514 unit yang dijual pada 2020.

Bagi tempoh setahun penuh 2021, kenderaan penumpang terus mendominasi TIV dengan jualan sebanyak 452,663 unit, manakala 56,248 unit disumbangkan kenderaan komersial.

Meskipun berdepan tahun mencabar, TIV kenderaan komersial mencatat pertumbuhan 15.9 peratus pada 2021 berbanding 48,543 unit yang dijual pada 2020.

Bagi jumlah pengeluaran industri (TIP) pula, ia menyusut 0.7 peratus kepada 481,651 unit tahun lalu berbanding 485,186 unit pada 2020.

Penyusutan pengeluaran untuk tahun kedua berturut-turut kebanyakan disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada Jun hingga Ogos 2021. Jumlah TIp bagi 2020 adalah 485,186 unit.

MAA menjelaskan, penyusutan kecil TIV tahun lalu disokong pelonggaran sekatan pergerakan, kebanyakan aktiviti ekonomi dibuka semula dan insentif pengecualian SST sehingga 31 Disember 2021.

"MAA gembira kerana kerajaan melanjutkan insentif pengecualian SST sehingga 30 Jun 2022 yang akan menyokong dan memastikan industri kekal mampan.

"Berhubung lanjutan insentif untuk tempoh selepas 30 Jun, MAA belum lagi membincangkan perkara ini untuk mencadangkan kepada kerajaan," tambah Aishah.

Mengulas mengenai sasaran TIV 2022, Aishah berkata, langkah pengeluar meningkatkan pengeluaran dan penghantaran kenderaan untuk memenuhi tempahan tertunggak dan baharu dijangka memacu TIV pada tahun ini.

"Insentif pengecualian SST akan terus menyokong jualan. Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus membantu merangsang perbelanjaan domestik termasuk barangan bernilai tinggi seperti kereta.

"MAA menjangkakan perbelanjaan pengguna juga pulih seiring dengan pemulihan ekonomi negara," katanya.

Beliau menjelaskan, industri automotif mungkin terus berdepan cabaran gangguan berkaitan pandemik dan isu rantaian bekalan seperti gelombang baharu COVID-19, kekurangan cip semikonduktor, kenaikan kos pengangkutan dan ketidaktentuan politik tempatan yang mungkin menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

"Bagaimanapun, tidak mungkin gangguan ini akan menyebabkan pergolakan besar dalam ekonomi memandangkan banyak pengalaman yang telah diperoleh oleh pihak berkuasa dalam menangani krisis COVID-19 sejak dua tahun lalu.

"Pengenalan model baharu termasuk kenderaan elektrik (EV) pada harga lebih kompetitif akan membantu mengekalkan minat belian. Malah kempen promosi agresif oleh ahli MAA juga akan memacu jualan dan mendapatkan semula bahagian pasaran pada tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Aishah berkata, langkah kerajaan memperkenalkan pengecualian duti import dan duti eksais untuk EV dijangka memacu penggunaan dan menarik minat lebih banyak peserta pasaran melabur di Malaysia.

"Insentif ini mendorong minat peserta global dan tempatan untuk menyuntik pelaburan di Malaysia. Kita mendapat pertanyaan berhubung perkara ini. Malah, MAA menjangkakan lebih banyak EV dihasilkan di Malaysia," katanya.

Berita Harian X