Khamis, 20 Januari 2022 | 12:59pm
Jumlah kos baik pulih kereta terjejas akibat banjir berbeza mengikut jenama selain ditentukan bengkel - Foto Reuters
Jumlah kos baik pulih kereta terjejas akibat banjir berbeza mengikut jenama selain ditentukan bengkel - Foto Reuters

Purata kos baiki kereta rosak akibat banjir RM90,000

KUALA LUMPUR: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mendedahkan purata kos pembaikan kenderaan terjejas sepenuhnya akibat banjir mungkin dianggarkan mencecah RM90,000 dan lebih tinggi jika membabitkan jenama premium.

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad, berkata agak sukar untuk menentukan anggaran kos pembaikan kenderaan yang terjejas banjir di 50 daerah di seluruh negara baru-baru ini disebabkan kerosakan yang dialami kenderaan adalah berbeza.

"Setiap kenderaan mengalami kerosakan berlainan dan jumlah kos baik pulih juga berbeza mengikut jenama, selain anggaran itu akan ditentukan bengkel yang membaikpulih kenderaan sama ada pusat servis sah atau bengkel pihak ketiga.

"Ia mungkin kurang RM10,000 bagi kenderaan yang mengalami kerosakan tidak ketara, manakala jumlahnya boleh mencecah RM80,000 hingga RM90,000 jika rosak sepenuhnya.

"Kosnya bergantung kepada kereta berkenaan. Jika ia jenis mampu milik mungkin kosnya lebih rendah, manakala bagi jenama premium pula mungkin lebih tinggi," katanya pada sidang media pengumuman prestasi industri automotif bagi 2021 secara maya hari ini.

Isnin lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan menganggarkan kerugian awal akibat banjir di 50 daerah di seluruh negara Disember lalu mencecah RM6.5 bilion.

Aishah berkata, setakat ini ahli MAA sudah menerima sekitar 5,000 kenderaan yang terjejas akibat banjir dan jumlah itu dijangka terus meningkat, selain ada pemilik turut menghantar kenderaan ke bengkel pihak ketiga.

"Berhubung sama ada pemilik kenderaan mencarum perlindungan banjir, MAA tidak memiliki data. Namun, setakat pengetahuan kami, tidak banyak kenderaan yang terjejas akibat bah ini dilindungi bencana alam," katanya.

Beliau berkata, ahli MAA sudah melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu meringankan beban mangsa banjir.

"Selain Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia yang diumumkan kerajaan, ahli MAA juga menawarkan pelbagai insentif termasuk diskaun alat ganti 25 peratus dan perkhidmatan tunda percuma, malah Proton (Proton Holdings Bhd) dan PERODUA (Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd) menawarkan diskaun sehingga 50 peratus," katanya.

Baru-baru ini, kerajaan memperkenalkan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia kepada rakyat terjejas akibat bah.

Menerusi baucar bernilai sehingga RM1,000 itu, warganegara yang layak boleh memanfaatkannya pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

Malah, kerajaan turut menambah baik pelaksanaan inisiatif Bantuan Automotif Keluarga Malaysia dengan mewujudkan kaedah alternatif untuk mangsa banjir membuat tuntutan tunai dalam keadaan kenderaan dibaiki di bengkel tidak berdaftar.

Berhubung dengan alat ganti dan komponen, Aishah berkata, ia bergantung kepada kesediaan bekalan di pusat servis dan bengkel.

"Jika alat ganti tidak boleh didapati di Malaysia, ia perlu ditempah dari luar negara. Justeru, ia akan mengambil masa. Di peringkat tempatan pula, jika ada stok, ahli MAA dapat membaiki kenderaan terjejas dengan cepat.

"Tempoh pembaikan bergantung kepada bengkel yang akan tentukan berdasarkan kapasiti," katanya.

Berita Harian X