Selasa, 11 Januari 2022 | 6:54pm
Lexus LC 500 Convertible tidak hanya menang pada gaya, tetapi kuasa dan prestasinya juga tidak boleh diragui.
Lexus LC 500 Convertible tidak hanya menang pada gaya, tetapi kuasa dan prestasinya juga tidak boleh diragui.

Kegemilangan LC 500 Convertible

KUASA padu, penampilan menyerlah. Itu dua aspek pertama yang boleh diterjemahkan bagi model Lexus LC 500 yang penuh elemen kejutan.

Model bumbung boleh buka ini yang julung kali ditawarkan oleh Lexus ini menjadi penanda aras untuk segmen kenderaan sebegini yang diangkat daripada model konsep LF-LC.

Sebelum menyentuh mengenai kuasanya yang amat didambakan oleh pemandu, kita jengah dahulu aspek luaran.

Jika melihat daripada bentuk luaran, ia mengekalkan ciri dan casis yang sama dengan model LC 500 yang terlebih dahulu memasuki pasaran tempatan pada 2017.

Ia didatangkan dengan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) LED serta gril 'Spindle'.

Tanda harga RM1.35 juta bukan masalah bagi mereka yang mementingkan gaya, reka bentuk dan kuasa.
Tanda harga RM1.35 juta bukan masalah bagi mereka yang mementingkan gaya, reka bentuk dan kuasa.

Model bumbung boleh buka meningkatkan lagi tahap kemewahan dan dominan model ini.
Model bumbung boleh buka meningkatkan lagi tahap kemewahan dan dominan model ini.

Pada bahagian belakang, ia dilengkapi kombinasi lampu LED berbentuk L. Lampu brek ketiga pada penutup but serta ekzos berkembar menambah elemen kesegaran jenama ini.

Sama ada berbumbung atau sebaliknya, bentuknya sudah cukup seksi dengan garis lengkung yang menonjol dan dipadankan dengan rim 21 inci dua tona.

Mekanisma lipatan bumbung dengan material empat lapisan melalui kuasa hidraulik membolehkan ia diturunkan dalam masa 15 saat dan dinaikkan dalam 16 saat.

Ia juga boleh dilakukan dalam keadaan kenderaan bergerak sehingga 50 kilometer sejam (km/j) yang turut tersimpan kemas ketika dibuka.

Bumbung ini turut menyumbang kepada aspek dinamik serta bunyi angin daripada memasuki kabin.

Pendek kata, sesiapa yang berselisih dengan Lexus LC 500 Convertible, pasti akan menoleh dua atau tiga kali, apatah lagi jika pemanduan ala-ala bersiar-siar dengan bumbung terbuka.

Kabin fokus pemandu

Menjengah ke dalam Kabin, konfigurasi tempat duduk 2+2 pula menggabungkan elemen dan ciri elegan serta keselesaan maksimum, malah kokpitnya khusus untuk pemandu.

Sesuai untuk pemanduan hujung minggu atau harian, ia dilengkapi skrin multimedia resolusi tinggi 10.3 inci paparan terpisah.

Sistem pengaktifan suara pula mampu mengaktifkan audio dan kawalan pendingin udara selain sistem penunjuk arah.

Sistem ini disepadukan dengan Apple CarPlay dan Android Auto daripada telefon ke skrin utama.

Ia juga dilengkapi 13 pembesar suara Mark Levinson Reference Surround Sound System untuk kesan akustik terbaik sama ada bumbung terbuka atau tidak.

Paling mengujakan pasti kuasanya, Lexus LC 500 Convertible hadir dengan enjin 5.0 liter naturally aspirated V8 yang mampu menghamburkan 470 kuasa kuda (hp) pada 7,100 rpm dan tork puncak 540Nm pada 4,800 rpm.

Digabungkan dengan transmisi automatik Direct-Shift 10 kelajuan, ia mampu memecut daripada sifar hingga 100 km/j dalam masa 4.9 saat dan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada kelajuan 270 km/j.

Meningkatkan lagi 'nafsu' kelajuan, model ini tampil dengan enam mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Comfort, Sport S, Sport S+ dan Custom.

Walaupun penjimatan bahan api bukan fokus utama namun melalui Dual Variable Valve Timing-intelligent (DVVT-i) dan gabungan ciri Artificial Intelligence Shift Control membolehkan ia menawarkan bacaan bahan api pada sekitar 12.7 liter untuk setiap 100 km serta penukaran gear lebih lancar untuk pengalaman pemanduan terbaik.

Jadi apabila memandu model ini, aspek ekonomikal harus diletak tepi kerana tanpa memecut untuk merasai enjin dan kuasa padunya, anda tidak akan menikmati keseronokan sebenar memandu LC 500.

Aspek keselamatan juga tidak boleh dipertikaikan, apabila Lexus LC 500 ini tampil dengan Lexus Safety System+ (LSS+) dengan sistem pra perlanggaran, amaran menukar lorong dengan bantuan kekal lorong, kawalan pelayaran radar dinamik serta lampu tinggi automatik.

Ia turut dilengkapi enam beg keselamatan serta peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang sebagai ciri standard.

Berdasarkan kuasa, keselamatan, reka bentuk mewah dan sporty, tanpa harga RM1.35 juta (atas jalan tanpa insurans) berbaloi untuk dimiliki.

LC 500 Convertible turut hadir dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan dan servis percuma sepanjang tempoh itu atau bagi jarak 100,000 km yang pertama.

INFO

Lexus LC 500 Convertible

* Harga atas jalan tanpa insurans RM1.35 juta

* Enjin 5.0 liter naturally aspirated V8

* 470 hp @ 7,100 rpm, tork puncak 540Nm @ 4,800 rpm

* Transmisi automatik Direct-Shift 10 kelajuan

* 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dan kelajuan maksimum dihadkan 270 km/j

* 6-mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Comfort, Sport S, Sport S+ dan Custom

* Lexus Safety System+ (LSS+) dengan sistem pra perlanggaran, amaran menukar lorong dengan bantuan kekal lorong, kawalan pelayaran radar dinamik serta lampu tinggi automatik, 6-beg keselamatan serta peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang.

Berita Harian X