Isnin, 10 Januari 2022 | 2:27pm
Gambar fail. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Gambar fail. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Firma automotif jamin terima baik pulih kenderaan

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional memberi jaminan untuk menerima semua kenderaan yang terjejas akibat banjir untuk melalui proses penilaian dan pembaikan di seluruh pusat servis sah berkaitan di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata 200 pusat servis Perodua tidak berdepan masalah untuk menerima kereta pelanggan yang terjejas.

Malah, katanya, pusat servis pengeluar jenama kompak terkemuka itu juga bersedia untuk menerima jumlah kemasukan kenderaan tambahan memandangkan masih terdapat kawasan masih terjejas akibat bah.

"Kita sudah menerima 1,983 kenderaan (sehingga 7 Januari 2022) pemilik Perodua dan pusat servis Perodua di seluruh negara sedia menerima lagi kemasukan kenderaan terjejas banjir," katanya kepada BH.

Zainal Abidin berkata, dengan pengumuman bantuan tambahan kerajaan kepada mangsa banjir Jumaat lalu, beliau percaya ia dapat memberi bantuan lebih kepada pemilik kenderaan Perodua.

"Melalui program Perodua Flood Assistance, syarikat itu akan menyediakan perkhidmatan tunda kereta ke pusat servis Perodua secara percuma. PERODUA turut bersetuju memberikan kos upah baik pulih dan servis berkaitan secara percuma dan diskaun sebanyak 50 peratus ke atas alat ganti.

"Fokus utama kami adalah untuk memastikan proses pembaikpulih kesemua kenderaan ini dapat dilakukan dengan secepat mungkin demi kemudahan pelanggan kami," katanya.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan menambah Kemudahan Bantuan Bencana di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif, selain menyediakan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia kepada rakyat terjejas akibat banjir.

Menerusi Kemudahan Bantuan Bencana, kerajaan meningkatkan dana kepada RM500 juta daripada RM200 juta sebelum ini bagi meringankan beban golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara.

Inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia pula membabitkan nilai sehingga RM1,000 yang ditawarkan kepada warganegara yang layak untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (PROTON), Roslan Abdullah, berkata untuk yang layak mendapat sokongan, semua kereta Proton yang mengalami kerosakan akibat banjir perlu dihantar ke pusat servis Proton.

Katanya, keperluan itu adalah untuk memudahkan proses dalaman yang agak rumit kerana ia membabitkan pihak Proton, pelanggan dan mungkin syarikat insuran.

"Buat masa ini jumlah pusat servis Proton dapat menampung jumlah kenderaan yang terbabit dan kami yakin akan mampu untuk memberi layanan yang sewajarnya serta membaik pulih kenderaan mereka," katanya.

Roslan berkata, PROTON juga menyambut baik langkah kerajaan menawarkan Baucar Diskaun Automotif Kerajaan Malaysia bernilai RM1,000 bagi kos pembaikan kenderaan persendirian dan juga untuk menggunakan sebagai diskaun bagi pembelian kereta baru.

"Bagi semua pelanggan Proton, mereka boleh menggunapakai diskaun baucar ini di semua pusat servis bertauliah Proton, di mana pihak kami akan menolak kos pembaikan atau kos pembelian kenderaan baharu sebanyak RM1,000," katanya.

Beliau menjelaskan, diskaun 50 peratus ditawarkan untuk alat ganti semua model Proton, kecuali X50 dan X70 dengan diskaun sehingga 25 peratus.

"Fokus kami sama dengan kerajaan iaitu untuk membantu golongan B40," katanya.

Dalam perkembangan lain, Roslan berkata, semua model baru Proton masih lagi dalam peringkat perbincangan.

"Kami akan maklumkan pelancaran model baru apabila keputusan muktamad telah dibuat," katanya.

Berita Harian X