Rabu, 5 Januari 2022 | 1:34pm
Pengecualian SST sehingga 30 Jun 2022 akan mengimbangi penurunan jualan semasa sekatan pergerakan penuh - Foto hiasan
Pengecualian SST sehingga 30 Jun 2022 akan mengimbangi penurunan jualan semasa sekatan pergerakan penuh - Foto hiasan

Jualan kereta dijangka terus meningkat tahun ini

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd mengunjurkan jumlah jualan industri (TIV) automotif tempatan mencecah 540,000 unit tahun ini, dengan kebanyakan penghantaran tertunggak sepanjang tahun lalu akan dipenuhi pada 2022.

Penganalisisnya, Eddy Do Wey Qing, berkata jangkaan itu di sebalik situasi kekurangan cip masih lagi berlaku, namun boleh disokong oleh lanjutan tempoh pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga pertengahan tahun ini.

"TIV bagi 2021 dijangka mengatasi unjuran kami iaitu 470,000 unit, penurunan tahunan sebanyak 13 peratus.

"Bagi Disember 2021, PROTON merekodkan jualan 14,147 unit dengan pegangan pasaran 20.6 peratus, yang memberi gambaran TIV bagi tahun kewangan 2021 adalah kira-kira 505,000 unit. PERODUA pula merekodkan jualan 22,940 unit pada bulan sama, kurang berbanding sasaran 30,000 unit yang ditetapkan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Wey Qing berkata, pengecualian SST sehingga 30 Jun 2022 akan mengimbangi penurunan jualan semasa sekatan pergerakan penuh dan meningkatkan permintaan, ditambah lagi dengan persekitaran kadar faedah rendah di tengah-tengah pengeluaran yang terhad.

"Bagaimanapun, pandangan kami tidak banyak berubah. Kami merasakan lanjutan pengecualian SST sehingga Jun depan tidak akan berkesan seperti sebelum ini. Ini kerana, pelanggan yang berhasrat mengambil peluang daripada diskaun itu sudah pun berbuat demikian sejak 18 bulan lalu.

"Selepas itu, kami menjangkakan TIV akan mulai reda untuk beberapa suku selepas SST dikenakan semula, sebelum menyambung semula pertumbuhannya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata RHB Investment turut positif dengan insentif kenderaan elektrik (EV) kepada pelanggan yang dianggap seperti suntikan yang amat diperlukan bagi memacu penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV).

Katanya, pengecualian duti dan SST akan mengecilkan jurang harga antara kenderaan enjin pembakaran tradisional dengan EV.

"Cadangan insentif cukai bagi EV terpakai untuk kenderaan penumpang termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan komersial serta motosikal," katanya.

Wey Qing berkata, walaupun sektor automotif memberikan peluang kepada pelabur yang mahukan tema pemulihan pada 2022, RHB Invesment mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap sektor itu buat masa ini, memandangkan ketidaktentuan jangka pendek dijangka masih berkekalan.

Ia, katanya termasuk masalah berterusan kekurangan komponen utama, yang boleh menyebabkan pelancaran model-model baharu tertangguh selain gangguan kes COVID-19 dalam kalangan pekerja.

"Dengan virus COVID-19 sedang bermutasi, kita tidak boleh menolak kemungkinan berlaku sekatan pada masa akan datang, yang boleh mencetuskan risiko penurunan.

"Risiko lain termasuk bank memperketatkan syarat kelulusan pinjaman kereta dan penurunan mendadak ringgit," katanya.

Berita Harian X