Selasa, 4 Januari 2022 | 3:54pm
Myvi terus menerajui keseluruhan pasaran Malaysia dari segi jualan mengikut model - Foto hiasan
Myvi terus menerajui keseluruhan pasaran Malaysia dari segi jualan mengikut model - Foto hiasan

Jualan kereta PERODUA merosot tahun lalu

RAWANG: Jualan tahunan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) merosot kepada 190,291 unit pada 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata jualan keseluruhan tahun lalu susut 13.6 peratus berbanding 220,154 unit yang dicatatkan pada 2020, kesan daripada COVID-19, gangguan bekalan cip semikonduktor dan banjir baru-baru ini yang memberi kesan buruk kepada pengeluaran.

"Sejumlah 190,291 pendaftaran adalah di bawah sasaran kami iaitu 200,000 unit untuk 2021 kerana cabaran pada lalu adalah lebih besar daripada yang dijangkakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal Abidin berkata, Myvi terus menerajui keseluruhan pasaran Malaysia dari segi jualan mengikut model dengan 47,525 unit berjaya dijual diikuti Axia dan Bezza yang menguasai pasaran segmen A negara.

Meskipun prestasi suram dalam jualan keseluruhan 2021, PERODUA berjaya menjual 22,940 unit kenderaan pada Disember, meningkat 13 peratus daripada 20,299 unit yang dijual pada November.

Zainal Abidin berkata, angka jualan lebih baik pada bulan lalu adalah hasil positif daripada tindak balas terhadap gangguan bekalan yang terputus akibat COVID-19.

"Kami berterima kasih kepada pelanggan atas sokongan dan pemahaman mereka, terutama mereka yang sabar menunggu kenderaan PERODUA mereka. Insya-Allah, penghantaran akan bertambah baik pada bulan-bulan akan datang," katanya.

Mengenai industri secara keseluruhan tahun lalu, beliau berkata jumlah keseluruhan industri (TIV) dijangka berdepan impak dengan jangkaan penurunan 23.6 peratus kepada 504,536 unit daripada 528,172 unit yang dijual pada tahun 2020.

"Walaupun prestasi yang lebih rendah daripada jangkaan untuk 2021, tindak balas kami terhadap kesan COVID-19 terbukti berjaya setakat ini kerana kami dan pembekal bekerjasama secara dinamik serta menyelaraskan usaha untuk memastikan gangguan diminimumkan.

"Usaha ini termasuk menyediakan pasukan kakitangan yang bersedia untuk mengambil tindakan balas yang aktif di fasiliti gantian jika pembekal berada di bawah sekatan pergerakan. Kami juga memperuntukkan kakitangan PERODUA untuk menyokong pembekal yang memerlukan penggantian tenaga kerja sementara.

"Rantaian bekalan automotif tempatan mengalami kemerosotan besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun terdapat satu kelebihan memandangkan tempahan tertangguh untuk kenderaan PERODUA kekal sihat kerana pengguna masih memberi maklum balas positif terhadap pengecualian cukai jualan yang diperkenalkan oleh kerajaan," katanya.

Zainal Abidin berkata, PERODUA juga berkemungkinan menyemak semula sasaran jualan bagi tahun 2022 selepas mengambil kira perkembangan semasa.

"Pada Disember, kami meletakkan sasaran jualan 240,000 untuk 2022. Bagaimanapun, kami mungkin akan menyemak semula angka itu akhir bulan ini selepas mengambil kira perkembangan dan peristiwa terkini sebagai pertimbangan," katanya.

Berita Harian X