Selasa, 4 Januari 2022 | 2:09pm
PROTON menguasai 22.7 peratus pegangan pasaran di Malaysia - Foto ihsan PROTON
PROTON menguasai 22.7 peratus pegangan pasaran di Malaysia - Foto ihsan PROTON

Prestasi jualan PROTON terbaik sejak 2014

SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (PROTON) mengakhiri 2021 dengan mencatatkan jualan domestik dan eksport berjumlah 114,708 unit, prestasi terbaik sejak 2014 meskipun berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan akibat COVID-19.

Pengeluar kereta nasional itu berkata, prestasi positif bagi tempoh 12 bulan 2021 itu adalah 4.5 peratus lebih tinggi berbanding jualan 2020, walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan berkurangan 4.6 peratus kepada 505,000 unit tahun lalu.

"Secara keseluruhan bagi 2021, pegangan pasaran PROTON dianggarkan pada 22.7 peratus. Ini adalah penambahan sebanyak dua peratus berbanding 2020, sekali gus mengukuhkan pegangan syarikat pada kedudukan kedua dan semakin hampir ke tempat teratas," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Disember 2021, PROTON menjual 14,147 unit dengan penguasaan pasaran dianggarkan pada 20.6 peratus.

Selepas melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya pada Disember 2018, kenderaan jenis itu menjadi bertambah penting kepada angka jualan PROTON, terutama sekali selepas pelancaran Proton X50 pada Oktober 2020.

Selepas menjual 45,149 SUV pada 2021, PROTON merampas gelaran jenama SUV paling laris di Malaysia, sekali gus menyumbang hampir 40 peratus kepada jumlah jualannya.

Secara individu, Proton X50 mengakhiri 2021 dengan 28,774 unit, jumlah tertinggi secara keseluruhan segmen SUV dan mencapai jumlah jualan bulanan tertingginya pada Disember dengan 4,310 unit.

Menurut PROTON, ia bulan kedua berturut-turut apabula jualan melebihi 4,000 unit, sekali gus bukti kepada peningkatan pengeluaran dan penghantaran kepada pelanggan.

"Proton X70 pula mencatat 16,735 unit dengan jualan sebanyak 1,616 unit bagi bulan lalu. Ini membolehkan ia mendahului kelas SUV segmen-C dan menduduki tangga ketiga bagi jualan SUV keseluruhan.

"Jualan terlaris PROTON pada 2021 adalah Proton Saga yang berjaya mendekati pesaing terdekatnya untuk bersama mendahului pasaran sedan segmen-A. Sejumlah 42,627 unit dijual termasuk unit yang dihantar sebagai pek CKD (pemasangan tempatan) ke luar negara.

"Populariti yang berkekalan bagi Saga adalah bukti pelanggan masih kagum dengan prestasi, ciri keselamatan dan harga berpatutan yang ditawarkan oleh model buatan Malaysia ini yang turut semakin terkenal di pasaran eksport," katanya.

Sejumlah 554 unit Proton Exora dijual pada Disember, menyumbang kepada jumlah jualan sebanyak 4,035 unit bagi model PROTON yang mendahului kelas kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen-C.

Proton Persona dan Iriz juga menunjukkan prestasi yang baik pada Disember dengan jualan masing-masing 2,187 dan 884 unit selepas masalah bekalan cip semakin pulih.

Jualan keseluruhan bagi dua model terabbit masing-masing adalah 16,153 dan 6,708 unit, cukup untuk menyandang tangga ketiga pada segmen masing-masing.

Sementara itu, jualan antarabangsa juga menjadi sorotan utama syarikat dengan 3,108 unit dijual pada 2021, iaitu penambahan sebanyak 100 peratus dan menempatkan PROTON sebagai jenama automotif yang terlaris dari segi eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata dengan penambahan aktiviti pasang siap di luar negara dan kelonggaran sekatan perdagangan, PROTON yakin penambahan jualan eksport akan berterusan bagi beberapa tahun lagi.

"Tahun 2021 agak sukar bagi industri automotif secara keseluruhan dan ini jelas dilihat dalam penurunan TIV. Bermula krisis bekalan cip tahap sedunia sehinggalah kenaikan kes COVID-19 yang menyebabkan sekatan pergerakan dan penambahan kos penghantaran, ada banyak cabaran yang perlu diatasi.

"Oleh sebab itu, pencapaian PROTON menambah jualan tahun lalu amat ketara kerana ia akibat perancangan rapi dan penggunaan sumber yang sedia ada," katanya.

Berita Harian X