Khamis, 16 Disember 2021 | 12:17pm
Pengarah Urusan Runcit dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan (kiri) dan Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung bersama Hyundai Palisade - Foto HSDM
Pengarah Urusan Runcit dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan (kiri) dan Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung bersama Hyundai Palisade - Foto HSDM

Hyundai Palisade dilancar, harga bermula RM328,888

PETALING JAYA: Hyundai-Sime Darby Motor Sdn Bhd (HSDM) melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah, Hyundai Palisade dengan harga jualan bermula RM328,888.

Pengarah Urusan Runcit dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan, berkata permintaan bagi SUV mesra keluarga terus berkembang dengan pemilik mengharapkan kenderaan yang selesa dan serba boleh, sejajar dengan ciri keselamatan pintar.

Katanya, pelancaran Palisade baharu adalah amat bersesuaian dalam pasaran Malaysia, bertepatan dengan strategi Hyundai untuk menerajui inovasi.

"Kami yakin bahawa pengenalan Palisade akan menjadi pencetus perubahan bagi segmen ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung, berkata Hyundai Palisade direka bentuk dengan pelbagai ciri canggih yang menawarkan penggunaan secara praktikal.

Katanya, gabungan sempurna antara keselesaan, gaya dan fungsi memberikan keseronokan pemanduan kenderaan itu sama ada di bandar atau luar bandar.

"Beberapa pelancaran baharu kebelakangan ini meletakkan Hyundai dalam kedudukan yang mantap, dalam pada kami mengukuhkan tempat sebagai pilihan premium, dipacu oleh kepakaran inovatif," katanya.

Hyundai Palisade ditawarkan dalam empat varian iaitu

EXEC 7 dan EXEC 8 bagi varian enjin diesel serta LUXE 7 dan LUXE 8 bagi varian enjin petrol.

Menggabungkan reka bentuk berani dengan sentuhan elegan, keupayaan serba boleh adalah ciri khas Palisade, menjadikannya sempurna bagi keselesaan pemanduan harian atau mereka yang mahukan cabaran.

Palisade baharu adalah bukti kepada usaha HSDM terhadap inovasi dan keselamatan pintar, menawarkan ruang selesa terbaik dalam kelasnya yang sesuai bagi keperluan pemandu serta penumpang.

Model ini didatangkan dalam dua 'power train' iaitu enjin R 2.2 CRDI Turbo Diesel dan enjin 3.8 GDi Petrol.

Kedua-duanya disediakan dalam varian tujuh atau lapan tempat duduk dengan lima tona eksklusif iaitu 'white cream', 'lagoon silver', 'steel graphite', 'moonlight cloud' serta 'timeless black'.

Berita Harian X