Rabu, 15 Disember 2021 | 4:51pm
Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kereta Penumpang MBM, Michael Jopp bersama S-Class baharu.
Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kereta Penumpang MBM, Michael Jopp bersama S-Class baharu.

Mercedes-Benz jangka prestasi lebih baik tahun hadapan

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) optimis, 2022 akan menjadi tahun yang akan mengembalikan sinar kepada industri automotif khususnya jenama premium dari Jerman di pasaran domestik.

Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kereta Penumpang MBM, Michael Jopp, berkata pasaran automotif berdepan pasaran yang mengecewakan bermula 2020 sebelum menjadi tidak menentu memasuki 2021 dan kembali mencatat pemulihan positif pada suku terakhir tahun.

Katanya, momentum dalam pelbagai aspek termasuk jualan yang dicatatkan pada tiga bulan terakhir 2021 bakal memberi tindak balas positif tahun depan, jika tiada sebarang sekatan pergerakan selanjutnya dilaksanakan.

"Pemulihan yang dicatatkan suku keempat tahun ini sangat pantas. Ia menjadi antara petunjuk kepada MBM untuk meletakkan keyakinan tetapi kekal berhati-hati tahun depan.

"Saya yakin 2022 akan menjadi tahun yang lebih baik untuk industri terutamanya MBM. Dari perspektif hari ini, saya menjangkakan potensi jualan tahun depan disokong pembukaan ekonomi, kadar vaksinasi tinggi dan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya pada sidang media selepas pelancaran model Mercedes-Benz S580e di sini hari ini.

Sementara itu, MBM melancarkan model utamanya S-Class 2022, Mercedes-Benz S580e kepada Malaysia yang ditawarkan hanya dengan satu varian sahaja.

Bagaimanapun, harga atas jalan bagi model sedan generasi ke-7 itu hanya akan diumumkan kemudian.

Sejak model S-Class diperkenalkan ke pasaran global, lebih 4 juta unit limosin itu telah terjual.

Bagi pasaran Malaysia, model yang dibawa masuk pada akhir 1970 itu, sudah terjual sebanyak 18,000 unit.

Mengikut dimensi, S580e memiliki 5,179 milimeter (mm) panjang, 1,921 mm lebar dan 1,503 mm tinggi, sekali gus menyaksikan model baharu ini sedikit besar berbanding model terdahulu.

Dari aspek penggayaan, S580e tampil dengan sentuhan visual lebih halus termasuk lampu depan trapezoid yang lebih langsing dan lebar yang diselaras dengan lampu nyalaan siang LED.

Ia tampil dengan gril lebih besar sekali gus memberikan visual bahagian hadapan yang lebih menonjol.

Kit standard pada model Malaysia termasuk lampu depan LED Pencahayaan Digital, yang menggunakan 1.3 juta mikro bagi memberikan resolusi 2.6 juta piksel.

Selain meningkatkan ketepatan sistem Adaptive Highbeam Assist Plus yang lebih 100 kali berbanding Multibeam, unit Lampu Digital boleh melaraskan pancaran agar sesuai dengan topografi, berdasarkan data navigasi.

Menjengah ke dalam kabin, model ini tampil dengan papan pemuka minimalis dan corong pendingin hawa yang direka semula terdiri daripada dua slot menegak yang tirus di kedua-dua sisi papan pemuka dan empat corong di atas skrin sentuh tengah.

S580e turut hadir dengan skrin sentuh OLED 12.8 inci yang memiliki resolusi 1,888 X 1,728 piksel, manakala kluster instrumen digital pula adalah paparan skrin 12.3 inci dengan kesan tiga dimensi yang mampu menjejaki mata pemandu menggunakan kamera stereo.

Ia turut dilengkapi dengan sistem hiburan MBUX mewah dengan paparan berkembar 11 inci, dua set headset tanpa wayar dan tablet android 7-inci. Tidak lengkap dengan itu, S580e memiliki keupayaan sistem audia yang mengujakan menerusi sistem bunyi keliling 3D Burmester dengan 16 pembesar suara dan amplifikasi 760 watt.

Dari aspek mekanikal, model mewah ini didatangkan dengan enjin petrol M256 3.0 liter pengecas turbo enam sebaris yang menghasilkan output 362 kuasa kuda (hp) dari 5,500 hingga 6,100 rpm dan tork 500 Nm antara 1,600 dan 4,500 rpm.

Enjin pembakaran dalaman turut 'bekerja' bersama dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan 147 hp dan tork 440 Nm.

Output gabungan yang dihasilkan enjin dan motor elektrik menghasilkan keseluruhan 502 hp dan tork 750 Nm.

Trenkuasa model ini turut disokong kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan yang mampumemecut 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.2 saat dengan kelajuan tertinggi 250 km/j.

Berita Harian X