Jumaat, 10 Disember 2021 | 3:50pm

BMW R18 Bagger, R18 Transcontinental masuk pasaran Malaysia

KUALA LUMPUR: BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental baharu, kedua-duanya hadir secara eksklusif sebagai 'First Edition', sekali gus meluaskan lagi portfolionya bagi pasaran tempatan menerusi jentera terkini yang dirumus untuk perjalanan jauh.

BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental, masing-masing ditawarkan pada harga jualan atas jalan, tanpa insurans, berserta waranti 3-tahun baharu dan Program Bantuan Tepi Jalan 3-tahun oleh BMW Motorrad Malaysia pada RM186,500 dan RM198,500.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser, berkata sebelum tahun 2021 melabuhkan tirainya, jenama itu membawa masuk dua ahli baharu dalam keluarga BMW R 18 yang membariskan jentera kruiser serba ikonik.

"BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental baharu adalah pendamping yang sempurna bagi perjalanan jauh, ia bukan sahaja menawan, malah turut membekalkan keselesaan dan tunggangan berprestasi tinggi di atas jalan raya.

"Memandangkan sempadan antara negeri telah dibuka semula, digandingkan pula dengan ketibaan jentera kruiser baharu ini – ayuh kita terus jadikan hidup sebuah pengembaraan dalam norma baharu, pastinya tanpa membelakangkan keselamatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental baharu menggandingkan kuasa 'Big Boxer' yang mengagumkan dengan konsep casis serba klasik berdasarkan model terdahulu, termasuk aneka kelengkapan eksklusif, serta reka bentuk yang memukau.

BMW R 18 Bagger akan membekalkan kepuasan emotif yang sebenar diinginkan oleh peminat motosikal, manakala BMW R 18 Transcontinental menampilkan pelbagai elemen reka bentuk yang diperhalusi serta teknologi motosikal moden yang membezakannya sebagai jentera yang ideal bagi perjalanan jarak jauh, biar secara solo atau bersama pembonceng dan muatan.

BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental baharu mempersembahkan siluet memanjang berbentuk titis air yang menawan.

Seperti kruiser terdahulu yang dirumus untuk menjelajah, penampilan BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental mencakupi elemen yang bergaya seperti bingkai gulung berkembar, aci universal dengan saduran nikel berglos serta perumah klasik bagi kotak gear gandar belakang, membayangkan jentera Big Boxers BMW terdahulu yang bertaraf ikonik.

Ia turut didatangkan dengan pelitup tangki bahan api yang boleh dikunci.

Hadir secara eksklusif dalam varian First Edition, kedua-dua model ini menyediakan kelengkapan tambahan bergred tinggi yang meliputi pelbagai komponen krom.

Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan kemasan permukaan yang istimewa, sulaman berkualiti tinggi dan inskripsi First Edition pada kedua-dua bekas muatannya.

Dari sudut hadapan, BMW R 18 Bagger menampilkan perisai angin reraut (fairing) yang rendah, serta tempat duduk yang langsing.

Lengkap dengan 'side-line' dan 'fly line' memanjang yang elegan lagi dinamik melandai ke arah belakang, BMW R 18 Bagger mengetengahkan gaya 'bagger' yang tipikal.

BMW R 18 Transcontinental pula membawakan perisai angin reraut yang tinggi, penangkis angin, serta bekas muatan atas yang terintegrasi dalam warna yang sama seperti tubuhnya.

Dirumus untuk perjalanan yang panjang, tahap keselesaan yang tinggi dijamin bagi penunggang dan pembonceng, yang digandingkan dengan kelengkapan berkualiti tinggi, lantas menzahirkan sebuah impresi dengan perincian yang unik.

Hadir dalam rona perak, enjin jentera ini dipadankan dengan serampang berwarna perak dengan selongsong serampang bersadur krom, sebuah kombinasi yang membuahkan aspek elegan pada ruang kokpit, yang terdiri daripada empat gelung instrumen bersadur krom serta kluster instrumen berwarna perak.

Elemen bersadur krom yang lain meliputi cermin pandang belakang dan pemberat bar hendal.

Varian First Edition menghiasi BMW R 18 Bagger dengan roda berkontras dalam warna hitam, manakala BMW R 18 Transcontinental didatangkan dengan roda berkontras dalam warna kelabu perak, di samping angkup brek bersadur krom di hadapan.

BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental baharu dikuasakan oleh enjin boxer silinder berkembar yang disejukkan dengan udara/minyak, digelar Big Boxer, yang menaik taraf penampilan serta prestasi jentera ini.

Hadir dengan kapasiti 1802 cc, ia mampu menjana output berjumlah 91 kuasa kuda (hp) pada 4,750 rpm, dengan tork puncak 158 Nm pada 3,000 rpm.

Kuasa tarikan yang luar biasa, digandingkan dengan jisim tenaga putar yang bersaiz sempurna juga menjamin operasi yang lancar.

Turut menyaingi prestasi luar biasanya, BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental baharu membekalkan nyahpecutan yang efektif menerusi brek cakera berkembar di hadapan dan brek cakera tunggal di belakang berserta dengan angkup tetap empat piston.

Sistem brek berkenaan dilengkapi dengan BMW Motorrad Full Integral ABS, yang menyesuaikan pengagihan daya brek di antara brek hadapan dan belakang ketika membrek mengikut pengagihan muatan roda dinamik.

Info:

BMW R 18 Bagger dan BMW R 18 Transcontinental

• Harga jualan atas jalan, tanpa insurans, berserta waranti 3-tahun baharu dan Program Bantuan Tepi Jalan 3-tahun RM186,500 dan RM198,500

• Kapasiti 1802 cc

• Output 91 hp @ 4,750 rpm, tork puncak 158 Nm @ 3,000 rpm

• Sistem brek dilengkapi dengan BMW Motorrad Full Integral ABS

• Sistem Kawalan Luncur Aktif (ACC)

• Sensor radar yang diintegrasikan di reraut hadapan, dengan jarak pengesanan sejauh 120 meter

• Sebagai standard, kedua-dua model didatangkan dengan mod tunggangan Rain, Roll, dan Rock

• Kawalan Stabiliti Automatik (ASC) dan kawalan tork seretan enjin (MSR)

• Bantuan mengundur, diaktifkan melalui tuil pemilih untuk pengolahan

• Kawalan Permulaan Curam (Hill Start Control)

• Empat instrumen analog bulat serta paparan berwarna TFT 10.25 inci

• Lengkap dengan BMW Motorrad Connected App

• BMW R 18 Bagger dilengkapi dengan Marshall Gold Series Stage 1 dengan 4-pembesar suara dan seunit penggalak

• BMW R 18 Transcontinental didatangkan dengan Marshall Gold Series Stage 2 dengan enam pembesar suara dan seunit penggalak

Berita Harian X