Rabu, 1 Disember 2021 | 9:10pm
JOLOKAN sebagai Raja Sportbike bertepatan dengan keunggulan gaya dan teknologi mantap ditampilkan model ini.
JOLOKAN sebagai Raja Sportbike bertepatan dengan keunggulan gaya dan teknologi mantap ditampilkan model ini.

Suzuki GSX-R1000R teruskan legasi Gixxer

KUALA LUMPUR: Sekian lama menyepi dari pasaran Malaysia, jenama Suzuki yang kini kembali aktif dan agresif dengan pelancaran model baharunya termasuk model prestasi tinggi GSX-R1000 bukanlah nama asing di peringkat dalam dan luar negara.

Sejak tiga dekad lalu dengan lebih sejuta terjual sejak barisan GSX-R dikeluarkan.

GSX-R1000 yang terbaharu adalah generasi keenam, yang mana kini sedang mentakrifkan semula segmen supersport, dalam mengembalikan zaman kegemilangannya sebagai 'The King of Sportbikes'. Tersedia dalam dua versi, GSX-R1000 dan GSX-R1000R, ia dipasarkan masing-masing pada harga RM99,289 dam RM110,280.

Berpeluang menunggang uji model peringkat tinggi GSX-R1000R, boleh dikatakan ia adalah generasi GSX-R yang paling berkuasa dengan pecutan amat padu dan lancar pernah dikeluarkan oleh Suzuki.

Ia adalah GSX-R yang paling padat, aerodinamik dan mudah dikawal, dengan tindak balas pendikit yang lebih lancar berserta kecekapan pembakaran bahan api yang lebih cekap.

Secara keseluruhannya, tidak keterlaluan, jika ia dianggap sebagai Suzuki GSX-R yang paling maju dan menarik, dengan penampilan yang agresif.

GSX-R berspesifikasi tinggi ini dilengkapkan penyerap hentakan yang dinaik taraf, penukar pantas gear elektronik (Quickshifter) yang lancar dan beberapa peningkatan lain, sekali gus menjadikannya lebih cekap di dalam dan di luar litar.

Mengenai keselesaan tunggangan di jalan raya, badan GSX-R ini adalah sangat ramping bagi motosikal enjin 4-inline, manakala tempat duduk disokong dengan baik dan capaian kepada hendal dan butang kawalan klip-on tidak terlalu agresif, selain daripada kedudukan tempat letak kaki penunggang, yang tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Namun begitu kapasiti tangki minyaknya agak kecil iaitu 16 liter.

Sebaik sahaja dihidupkan, GSX-R mengeluarkan bunyi ngauman yang unik. Meskipun menggunakan enjin 4-silinder sebaris yang konvensional, namun ia agak berlainan daripada yang lain dalam kelasnya. Kombinsi deruman enjin dan note teknologi tinggi ekzosnya amat menarik. Suzuki menyediakan penyelesaian pemasaan injap boleh laras yang sangat baik untuk tunggangan di dalam dan luar litar lumba.

Jika GSX-R750 model 1997 boleh dikatakan peneraju awal sportbike Jepun dengan teknologi suntikan bahan api, GSX-R ini mengekalkan tetapan mod kuasa boleh laras S-DMS. Penyepaduan pendikit Ride-by-Wire memberikan pelarasan kawalan yang diselaraskan dengan kemas dalam setiap mod tunggangan. Mod kuasa penuh A adalah paling menyeronokkan.

GSX-R1000R juga dilengkapi kawalan cengkaman berkuasa IMU boleh laras sepuluh hala, namun pengaturcaraannya terasa lebih asas berbanding dengan tetapan kontemporari beberapa model lain dari Jepun dan Eropah. Namun begitu, kawalan 'Wheelie' , tetapan brek enjin serta cruise-control tidak terdapat pada Gixxer ini. Penukar pantas elektronik gear (naik-turun) amat lancar, membolehkan penunggang mengawal 6-kelajuan kotak gear dengan tepat dan cepat.

Dari segi ketangkasan, GSX-R1000R seberat 202 kilogram (kg) adalah mengagumkan. Ia boleh dikemudi dengan lebih tepat daripada Gixxer terdahulu dan juga kekal menawarkan tahap kestabilan yang mantap.

Turut menarik adalah tahap cengkaman belakang yang stabil susulan casisnya yang mantap. Komponen pelarasan hentakan yang dinaik taraf mengikut keadaan jalan pula adalah lebih tepat berbanding yang terdapat pada model terdahulu.

Namun begitu, kabel brek hadapan keluli tahan karat model R dirasakan memerlukan lebih penambahbaikan bagi membantu mengurangkan kelemahan brek hadapan, antara sedikit masalah dialami Suzuki GSX-R.

Brek belakang agak berlainan, ia amat kuat dan responsif, dilengkapi ABS sepenuh masa dengan fungsi selekoh mengurangkan ketidakstabilan semasa brek.

Lampu depan LED yang terang memancarkan sebaran cahaya yang terang semasa tunggangan malam. Lampu penentu kedudukan LED juga adalah satu komponen yang sangat bagus. Meter LCD 5.5 inci pula, walaupun hanya satu warna, paparannya berfungsi dengan baik dan mudah dibaca siang dan malam.

Walaupun tidak dilengkapkan dengan pakej elektronik yang benar-benar moden, namun ia dirasakan sudah memadai. GSX-R1000R terus menjadi salah satu kegemaran penulis kerana ia adalah sportbike serba boleh dan mudah dikendalikan. Selain itu, ia juga ditawarkan pada harga yang dikira amat kompetitif dengan reka bentuk yang menarik.

SPESIFIKASI:

Enjin: 999cc, 4-strok, 4-silinder, penyejukan cecair, DOHC

Sistem bahan api: Sistem suntikan, pendikit Ride-by-Wire

Transmisi: 6-kelajuan; kluc basah multi-plet

Suspensi hadapan: Fork terbalik (USD)

Suspensi belakang: shock tunggal

Brek hadapan: Brembo 4-piston, cakera berkembar, ABS

Brek belakang: Nissin, 1-piston, cakera tunggal, ABS

Panjang: 2075 mm (81.7 inci)

Lebar: 705 mm (27.8 inci)

Jarak roda: 1420 mm (55.9 inci)

Tinggi dari tanah: 130 mm (5.11 inci)

Tinggi ke tempat duduk: 825 mm (32.5 inci)

Berat: 202 kg

Berita Harian X