X
Khamis, 22 Julai 2021 | 1:20pm
Jualan kenderaan pada bulan Jun merosot 96 peratus kepada 1,921 unit berbanding 47,204 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. - Foto hiasan
Jualan kenderaan pada bulan Jun merosot 96 peratus kepada 1,921 unit berbanding 47,204 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. - Foto hiasan

Jualan kenderaan merosot 96 peratus pada Jun

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan pada bulan Jun merosot 96 peratus kepada 1,921 unit berbanding 47,204 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Ia susulan kesan daripada pelaksanaan sekatan pergerakan seluruh negara bermula 1 Jun lalu.

Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi separuh pertama tahun ini (1H21) adalah lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu 249,129 unit berbanding 173,545 unit, peningkatan 75,584 unit.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata pencapaian tinggi itu sebahagian besarnya adalah disumbangkan oleh kesan asas yang rendah iaitu TIV yang rendah pada 1H20 disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad. - NSTP/Rohanis Shukri
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad. - NSTP/Rohanis Shukri

Katanya, sama seperti tahun lalu, jualan bulanan sepanjang 1H21 juga terjejas dengan pelbagai PKP yang dikenakan oleh kerajaan.

"Kecuali bagi bulan Januari dan Jun, jualan tahun-ke-tahun (Y-o-Y) adalah konsisten lebih tinggi untuk 1H21 berbanding tempoh sama pada 2020.

"TIV pada bulan Mac adalah yang tertinggi sepanjang 1H21 disebabkan oleh syarikat automotif bergegas membuat penghantaran kepada pelanggan kerana tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2021.

"Pada Jun, unit yang didaftarkan adalah amat sedikit disebabkan penutupan bilik pameran susulan sekatan pergerakan seluruh negara sepanjang bulan itu. Jualan sedikit yang dilaporkan pada bulan ini adalah daripada lebihan pendaftaran pada akhir Mei lalu," katanya pada taklimat media maya membentangkan prestasi sektor automotif negara bagi 1H21.

Mengikut pecahan bagi TIV 1H21, sebanyak 223,838 unit adalah daripada kenderaan penumpang manakala 25,291 adalah kenderaan komersil.

Bagi jumlah keseluruhan pengeluaran (TPV), sebanyak 241,288 unit dikeluarkan pada 1H21, meningkat 45.3 peratus kepada 166,049 unit daripada tempoh sama tahun lalu.

Dalam pada itu Aishah berkata, MAA membuat keputusan untuk menyemak semula unjuran TIV 2021 selepas mengambil kira banyak faktor terutamanya mengenai bahawa kilang automotif, pusat pengedaran dan bilik pameran jualan hanya dibenarkan beroperasi pada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Justeru itu, unjuran baharu TIV bagi tahun ini disemak semula kepada 500,000 unit berbanding 570,000 yang diunjurkan sebelum ini," katanya.

Berita Harian X