X
Jumaat, 18 Jun 2021 | 6:30pm
Jumlah keseluruhan industri (TIV) adalah 245,932 unit dari Januari hingga Mei tahun ini - NSTP/Saifullizan Tamadi
Jumlah keseluruhan industri (TIV) adalah 245,932 unit dari Januari hingga Mei tahun ini - NSTP/Saifullizan Tamadi

Jualan kenderaan di Malaysia merosot

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan merosot 19 peratus kepada 46,663 unit pada Mei, berbanding 57,912 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, jualan pada Mei adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding 23,366 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan berkata, jualan bagi bulan dikaji susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari pertengahan hingga akhir Mei.

"Jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Mei lebih disebabkan PKP 3.0, bulan bekerja lebih singkat berikutan cuti umum Hari Raya Aidilfitri dan kekurangan cip komputer yang menjejaskan jualan beberapa pengeluar," katanya.

Setakat Januari hingga Mei, TIV automotif tempatan berada pada 245,932 unit berbanding 128,790 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Mengikut pecahan, kenderaan penumpang mencatatkan jualan 41,988 unit pada Mei, manakala kenderaan komersial pula berada pada 4,675 unit.

Menurut MAA, dari aspek jumlah keseluruhan pengeluaran (TPV), industri automotif tempatan mengeluarkan 42,522 unit pada Mei, lebih rendah berbanding 51,390 unit yang dicatatkan pada April, tetapi lebih tinggi daripada 12,286 unit yang dihasilkan pada Mei 2020.

"Jumlah pengeluaran pada Mei mewakili 40,159 unit kenderaan penumpang, manakala komersial pula adalah 2,363 unit," katanya.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2021, TPV automotif negara adalah 240,998 unit, lebih tinggi berbanding 121,005 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

Menuju ke hadapan, MAA berkata, jualan pada Jun dijangka minimum disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang menyaksikan bilik pameran tidak dibenarkan dibuka.

"Kebanyakan agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ditutup atau beroperasi dengan jumlah kakitangan yang minimum," katanya.

Berita Harian X