Rabu, 19 Mei 2021 | 4:06pm
Sebanyak 57,912 unit kenderaan dijual pada April 2021 - Foto fail BERNAMA
Sebanyak 57,912 unit kenderaan dijual pada April 2021 - Foto fail BERNAMA

Jualan kenderaan di Malaysia merosot bulan lalu

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan di Malaysia merosot kepada 57,912 unit pada April, 12.3 peratus lebih rendah berbanding 63,221 unit yang dicatatkan bulan sebelumnya.

Menerusi kenyataan hari ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA), berkata jualan lebih rendah yang dicatatkan pada bulan dikaji disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak.

"Kekurangan bekalan cip komputer juga memberi kesan kepada jualan beberapa pengeluar," katanya.

Jualan bagi April 2021 merangkumi 52,628 unit kenderaan penumpang dan 5,284 unit kenderaan komersial.

Setakat April 2021, pasaran automotif tempatan merekodkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 199,556 unit, 89 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ia merangkumi 179,096 unit kenderaan penumpang dan 20,460 unit kenderaan komersial.

Bagi tempoh Januari hingga April tahun lalu, jumlah jualan automotif tempatan berada pada 105,424 unit, susulan pelaksanaan PKP pada pertengahan Mac hingga April

MAA berkata, jumlah pengeluaran industri (TPV) berada pada 51,390 unit merangkumi 47,764 unit kenderaan penumpang dan baki 3,626 unit lagi kenderaan komersial.

"Setakat April 2021, pasaran automotif negara mengeluarkan 198,476 unit kenderaan membabitkan 183,353 unit kenderaan penumpang dan 15,123 unit kenderaan komersial," katanya.

Mengenai unjuran jualan Mei, MAA berkata, persatuan itu menjangkakan jumlah jualan bulan semasa lebih rendah berbanding April ekoran pelaksanaan PKP 3.0 yang menjejaskan perniagaan dan pergerakan ke bilik pameran.

"Jualan pada Mei 2021 dijangka lebih perlahan disebabkan jumlah hari bekerja lebih pendek susulan cuti Hari Raya Aidilfitri dan kekurangan cip komputer yang menjejaskan beberapa pengeluar," katanya.

Berita Harian X