Selasa, 29 Disember 2020 | 7:06pm
Pengecualian cukai jualan di bawah PENJANA merangsang jualan kenderaan di Malaysia - Foto hiasan
Pengecualian cukai jualan di bawah PENJANA merangsang jualan kenderaan di Malaysia - Foto hiasan

Pengecualian cukai jualan kereta dilanjutkan

PUTRAJAYA: Pengecualian cukai jualan untuk kereta penumpang membabitkan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan model diimport sepenuhnya (CBU) dilanjutkan untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021.

Langkah itu adalah bagi terus memacu momentum perkembangan sektor automotif.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, ia membabitkan pengecualian sepenuhnya cukai jualan yang dikenakan ke atas kereta penumpang, termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

Bagi CBU import baharu dan CBU import terpakai, ia berkata pengecualian 50 peratus cukai jualan dikenakan ke atas

kereta penumpang, termasuk MPV dan SUV.

"Pengecualian ini akan berkuatkuasa dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa membentangkan pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada awal Jun lalu mengumumkan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi kereta penumpang CKD dan 50 peratus untuk model CBU bermula 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Ia sebahagian langkah merangsang jualan kenderaan di Malaysia, sekali gus menyokong ekonomi negara.

Hasilnya, industri automotif tempatan mencatatkan momentum positif apabila merekodkan pertumbuhan jualan keseluruhan industri (TIV) kukuh pada suku ketiga mengatasi rekod yang dicatatkan pada suku sama untuk tempoh tiga tahun lalu.

TIV pada suku ketiga lalu berjumlah 167,131 unit dengan lonjakan 147 peratus suku ke suku dan 14 peratus lebih tinggi tahun ke tahun.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya baru-baru ini menjangkakan prospek kekal kukuh berterusan sehingga suku terakhir tahun ini.

Penganalisis firma penyelidik itu, Hafriz Hezry, berkata pemulihan yang dicatatkan industri penggerak ekonomi negara itu disokong inisiatif pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan sehingga akhir tahun ini.

Berita Harian X