Khamis, 17 Disember 2020 | 8:32pm
(Gambar fail) Orang ramai memenuhi ruang legar pusat pameran Proton Edar mendengar penerangan kereta keluaran terbaru Proton X50 di Pusat pameran Proton HQ Kesas Highway baru-baru ini. - Foto: NSTP/ROHANIS SHUKRI.
(Gambar fail) Orang ramai memenuhi ruang legar pusat pameran Proton Edar mendengar penerangan kereta keluaran terbaru Proton X50 di Pusat pameran Proton HQ Kesas Highway baru-baru ini. - Foto: NSTP/ROHANIS SHUKRI.

Sektor automotif catat jualan 56,489 unit pada November

KUALA LUMPUR: Sektor automotif meneruskan momentum jualan positif apabila mencatat jualan 56,489 unit pada November.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan, berkata bagi tempoh dikaji, kenderaan penumpang mencatat jualan 51,174 unit, manakala kenderaan komersial pula dengan 5,315 unit.

"Jualan pada November adalah 0.3 peratus lebih rendah berbanding Oktober dengan 56,670 unit tetapi 7.4 peratus lebih tinggi berbanding bulan sama tahun lalu (52,584 unit)," katanya.

MAA berkata, jualan November yang kekal melebihi 50,000 unit itu dipacu insentif pengecualian cukai jualan kereta penumpang yang diumumkan kerajaan, selain pelancaran pelbagai model baharu menjadi pemangkin jualan yang kekal positif.

"Bagi bulan dikaji, jumlah pengeluaran dicatatkan sebanyak 54,832 unit mewakili 50,894 unit kenderaan penumpang dan 3,938 unit kenderaan komersial," katanya.

Bagi bulan terakhir 2020, MAA berkata, persatuan itu menjangkakan jumlah jualan lebih tinggi berbanding November dipacu insentif pengecualian cukai jualan yang berakhir 31 Disember ini.

"Jualan Disember juga bakal dipacu promosi agresif oleh pengeluar kenderaan," katanya.

Berita Harian X