Isnin, 5 Oktober 2020 | 11:12am
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah

Pengecualian cukai jualan kereta wajar dilanjutkan

SEPANG: Kerajaan wajar mempertimbang untuk melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan kenderaan yang diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sehingga Jun tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah, berkata lanjutan tempoh 'cuti cukai' itu dilihat sebagai langkah yang paling tepat untuk memacu semula jualan dan jumlah keseluruhan industri (TIV) lebih positif tahun depan.

Ini kerana, katanya, tempoh pengecualian cukai bermula 15 Jun lalu hingga 31 Disember ini ternyata memberi impak jualan sangat memberangsangkan dalam tempoh tiga bulan sekali gus mencerminkan keupayaan industri kembali pulih dari kerugian.

"Lanjutan ini bagus kerana secara tidak langsung menyokong ekonomi tempatan dan membolehkan jenama automotif termasuk Proton Holdings Bhd (PROTON) mengekalkan perniagaan.

"Kami dalam industri automotif amat berharap kerajaan dapat mempertimbang lanjutan pengecualian cukai kepada enam bulan lagi atau sehingga Jun tahun depan atau sekurang-kurangnya sehingga Mac tahun depan," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, lanjutan tempoh pengecualian juga dilihat dapat menyokong keseluruhan rantaian bekalan automotif dan industri selepas terjejas teruk selama tiga bulan bermula Mac hingga Jun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi kami, industri memerlukan usaha yang holitik untuk kembali pulih sebagaimana sebelum COVID-19 menular selepas terjejas sepanjang tempoh PKP.

"Dalam tempoh pengecualian cukai, kami telah dapat memulihkan kerugian dan lanjutan cuti cukai ini dapat memberi kelegaan kepada industri.

"Malah, industri automotif telah meminimumkan pemberhentian pekerja dan ada segelintir masih membayar gaji sama seperti sebelum COVID-19. Lanjutan pengecualian cukai dapat meningkatkan operasi dan memastikan tenaga kerja dapat dikekalkan," katanya.

Awal Jun lalu, menerusi pengumuman pakej PENJANA, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus untuk model import sepenuhnya (CBU) bermula 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Dalam tempoh tiga bulan pelaksanaan cuti cukai, trend pemulihan awal sektor automotif tempatan dilihat sangat menggalakkan.

Pemulihan sektor automotif tempatan juga dapat dilihat menerusi TIV yang mencatat pertumbuhan bulan ketiga berturut-turut pada Ogos.

Jumlah TIV yang dicatatkan pada Ogos yang melebihi paras 50,000 unit dilihat mengatasi sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu 470,000 unit tahun ini dengan mengambil kira purata jualan bulanan 49,000 unit.

Berita Harian X