Khamis, 1 Oktober 2020 | 11:08am
Jumlah keseluruhan industri (TIV) mencatat pertumbuhan bulan ketiga berturut-turut - Foto fail NSTP
Jumlah keseluruhan industri (TIV) mencatat pertumbuhan bulan ketiga berturut-turut - Foto fail NSTP

Trend pemulihan sektor automotif menggalakkan

H: Trend pemulihan sektor automotif menggalakkan

Introtext: Faktor pengecualian cukai jualan sepenuhnya kenderaan pemasangan tempatan, 50 peratus model import dorong pemulihan industri

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

zaky@bh.com.my

Trend pemulihan awal sektor automotif tempatan dilihat sangat menggalakkan disokong pelbagai inisiatif yang diumumkan kerajaan menerusi pakej rangsangan ekonomi.

MIDF Research dalam nota penyelidikan, berkata antara beberapa faktor mendorong pemulihan industri penggerak ekonomi negara itu termasuk pengecualian cukai jualan sepenuhnya untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus untuk model import (CBU) memacu jualan seluruh rantaian jenama automotif.

Katanya, pemangkin yang dianggap kukuh untuk sektor automotif juga adalah persekitaran kadar faedah yang lebih rendah yang mana mendorong pemulihan sentimen belian kenderaan.

"Kecairan yang kukuh yang dicetuskan menerusi langkah kerajaan dan institusi perbankan menawarkan moratorium juga meningkatkan lagi tunai dalam tangan pengguna.

"Malah, tambahan kecairan juga dinikmati pengguna menerusi program i-lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberi suntikan tunai terus kepada pengguna," katanya.

MIDF Research berkata, pemulihan sektor automotif tempatan juga dapat dilihat menerusi jualan atau jumlah keseluruhan industri (TIV) yang mencatat pertumbuhan bulan ketiga berturut-turut pada Ogos.

Katanya, TIV pada Ogos berkembang 3.2 peratus tahun ke tahun kepada 52,800 unit, tetapi lapan peratus lebih rendah bulan ke bulan berbanding Julai disebabkan hari bekerja lebih pendek, selain kemungkinan pembelian dibuat pada perayaan Aidiladha pada bulan lalu.

"TIV sekali lagi mengekalkan kedudukannya melebihi paras 50,000 unit dan kelihatan mengatasi sasaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) iaitu TIV 470,000 unit tahun ini dengan mengambil kira purata jualan bulanan 49,000 unit.

"Pencapaian ini belum mengambil kira jangkaan TIV lebih tinggi menerusi kempen jualan akhir tahun dan menjelang pelancaran utama model jenama nasional," katanya.

Firma penyelidikan itu menjelaskan, pemulihan TIV pada Ogos menyokong unjuran lebih baik MIDF Research yang menyusul selepas pengumuman tempoh cuti cukai sehingga 31 Disember ini.

"Harga kereta secara amnya berkurangan antara dua hingga tujuh peratus susulan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan.

"Kita dapat lihat tempoh cuti cukai selama tiga bulan pada 2018 mendorong TIV lebih tinggi sebanyak 21,000 unit sebulan.

"Justeru, berdasarkan perkara ini, buat masa ini kami mengekalkan sasaran tahun ini kepada 554,000 unit, 8.3 peratus lebih rendah berbanding tahun lalu," katanya.

Berita Harian X