Jumaat, 18 September 2020 | 5:46pm
Jumlah jualan kenderaan dijangka disokong oleh kempen promosi berterusan - Foto fail NSTP
Jumlah jualan kenderaan dijangka disokong oleh kempen promosi berterusan - Foto fail NSTP

Jualan kenderaan di Malaysia meningkat bulan lalu

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan di Malaysia tinggi pada Ogos 2020 apabila meningkat tiga peratus kepada 52,800 unit daripada 51,148 unit pada bulan yang sama tahun lalu.

Menerusi kenyataan hari ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata jumlah jualan lebih tinggi itu didorong oleh kempen promosi yang berterusan oleh syarikat automotif.

MAA berkata, bagaimanapun jumlah jualan pada Ogos 2020 susut lapan peratus berbanding angka yang dicatatkan pada Julai 2020 berikutan tempoh bekerja lebih pendek pada bulan lepas susulan cuti umum.

"Jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Julai 2020 juga tinggi susulan tempahan tertunggak dapat diselesaikan selepas pengumuman insentif pengecualian cukai jualan," menurut MAA.

Persatuan itu berkata, pengeluaran meningkat kepada 50,228 unit pada Ogos 2020 daripada 47,000 unit pada Ogos tahun lalu.

Jumlah jualan pada September 2020 diunjurkan kekal pada angka yang direkodkan semasa Ogos 2020, disokong oleh kempen promosi berterusan.

"Selain itu sentimen pengguna kekal berhati-hati dengan tempoh moratorium akan berakhir pada 30 September 2020," menurutnya.

-BERNAMA

Berita Harian X