Jumaat, 4 September 2020 | 5:47pm
Timbalan Pengurus Besar ETCM, Kang Hean Lee (kanan) dan Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan pada sesi prebiu media Nissan Almera Turbo di Shah Alam, hari ini - KHIS/Aziah Azmee
Timbalan Pengurus Besar ETCM, Kang Hean Lee (kanan) dan Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan pada sesi prebiu media Nissan Almera Turbo di Shah Alam, hari ini - KHIS/Aziah Azmee

ETCM buka tempahan Almera Turbo esok

SHAH ALAM: Edaran Tan Chong Motor (ETCM) membuka tempahan model sedan serba baharu, Nissan Almera Turbo bermula esok.

Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan, berkata Almera Turbo serba baharu yang ditawarkan dengan tiga varian iaitu 1.0L VL, 1.0L VLP dan 1.0L VLT dijual pada dengan harga anggaran bermula RM80,000.

"Ia akan berada di semua pusat pengedaran sah Nissan mulai esok," katanya kepada media pada sesi prebiu media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengurus Besar ETCM, Kang Hean Lee.

Model sedan keluaran Nissan itu hadir dengan enjin turbo 1.0 liter serba baharu yang dipadankan dengan kotak gear XTRONIC CVT generasi seterusnya dengan D-Step Logic System dan mod Sport.

Menerusi trenkuasa yang dimiliki, Almera Turbo menawarkan kuasa 100 PS pada 5,000 rpm dan tork puncak sehingga 152 Nm pada 2,400 - 4,000 rpm, manakala ia menjimatkan bahan api iaitu sekitar 18.4 kilometer seliter (km/l) atau bersamaan jarak sejauh 650 km dengan satu tangki penuh berkapasiti 35 liter.

Enjin turbo 1.0 liter serba baharu itu turut menampilkan beberapa inovasi teknikal termasuk pemandu akan dapat merasai pecutan serta-merta, hasil daripada pintu sisa (waste gate) elektronik yang menambah baik mampatan turbo dengan membuka dan menutup injap pintu sisa secara lebih cekap.

Rangkaian kuasa yang ditampilkan model serba baharu itu hadir dengan Teknologi Saduran Gerek Cermin (Mirror Bore Coating Technology) yang diadaptasi daripada model Nissan GT-R.

Ia membantu mengurangkan geseran di antara gelang omboh dan bahagian dalam silinder, seterusnya dapat meningkatkan ketahanan, mengurangkan masalah kehausan dan pengurusan haba, menjadikan pemanduan setiap hari lebih jimat serta mesra alam.

Selain daripada enjin turbo yang inovatif, Almera Turbo serba baharu didatangkan dengan teknologi keselamatan termaju iaitu Nissan Intelligent Mobility dan Nissan Safety Shield 360 untuk meningkatkan keyakinan ketika memandu.

Lebih menarik, fungsi Intelligent Forward Collision Warning (IFCW) dan Intelligent Forward Emergency Braking (IFEB) menjadi ciri standard untuk ketiga-tiga varian.

Sementara varian paling tinggi ditambah dengan sistem Blind Spot Warning (BSW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent Around View Monitor (I-AVM) dengan Moving Object Detection (I-MOD).

Dari segi luaran, reka bentuk baharunya diserlahkan menerusi gril hadapan signatur V-motion dan lampu utama LED berbentuk 'boomerang' yang menghiasi bahagian hadapan bersama garis bumbung terapung yang rendah memberikan profil yang kemas.

Ditambah pula dengan lampu belakang LED signatur yang memberikan penampilan yang moden dan aerodinamik.

Reka bentuk luaran baharu juga menampilkan dimensi yang lebih panjang, lebar dan rendah, sementara mengekalkan ruang dalaman luas yang sememangnya menjadi ciri istimewa Almera Turbo.

Secara keseluruhannya, ia 70 milimeter (mm) lebih panjang, 45mm lebih lebar dan 40mm lebih rendah berbanding Almera generasi pertama.

Ia membuatkan Almera Turbo serba baharu mempunyai saiz seperti sebuah sedan segmen C, tetapi lebih sporty.

Menjengah ke ruang kabin, panel instrumen 'Gliding Wing' terkini tampil dengan sentuhan krom, kemasan piano berwarna hitam dan tekstur bercorak gentian karbon nyata memberikan ambien yang mewah.

Sementara itu, stereng sporty yang rata pada bahagian bawahnya, papan pemuka yang dibalut kulit lembut bersama jahitan berkembar, paparan skrin sentuh termaju bersaiz lapan inci dan meter berwarna separa digital tujuh inci melengkapkan lagi pakej berkenaan.

Ruang kargo yang seluas 482L (VDA) mampu menempatkan sehingga empat beg golf dan kini hadir dengan bukaan lebih rendah serta luas agar mudah diakses.

Istimewa untuk pasaran Malaysia, Almera Turbo serba baharu menawarkan tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 sekiranya anda memerlukan lebih ruang kargo atau membawa barangan yang panjang.

Dua varian teratas Nissan Almera Turbo serba baharu didatangkan dengan 6-Beg Udara SRS (2-beg udara pada varian standard).

Ciri keselamatan lain termasuklah Vehicle Dynamic Control (VDC), Traction Control System (TCS), Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Brake Assist (BA), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Hill Start Assist (HSA) dan cagak Kerusi Keselamatan Kanak-kanak dengan Top Tether (ISOFIX x2) dipasang pada semua varian.

Almera Turbo serba baharu ditawarkan dengan enam warna luaran pilihan iaitu tiga warna baharu membabitkan merah (Radiant Red), oren (Monarch Orange) dan kelabu gelap (Dark Metal Grey)., manakala warna popular seperti putih (Brilliant White), hitam (Diamond Black) dan perak (Tungsten Silver) juga ada disediakan.

Semua varian Almera Turbo serba baharu yang diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) hadir dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan serta lima kali servis percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh).

Ia dijangka dilancarkan pada bulan depan dan penyerahan akan bermula selepas itu.

Berita Harian X