Rabu, 19 Ogos 2020 | 6:43pm
Kenderaan penumpang merangkumi hampir keseluruhan jualan Julai - Foto hiasan
Kenderaan penumpang merangkumi hampir keseluruhan jualan Julai - Foto hiasan

Jualan kereta baharu terus meningkat

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan baharu di Malaysia pada Julai meningkat 13.2 peratus kepada 57,532 unit berbanding 50,854 yang direkodkan pada bulan sama setahun lalu.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam kenyataannya berkata, kenderaan penumpang merangkumi hampir keseluruhan jualan bulan lalu sebanyak 52,119 unit, manakala 5,433 unit adalah daripada jualan kenderaan komersial.

Katanya, jualan lebih tinggi direkodkan adalah dicetuskan oleh insentif pengecualian cukai jualan bagi kedua-dua kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan kenderaan import sepenuhnya (CBU).

"Kempen promosi agresif oleh syarikat-syarikat kereta dan bulan bekerja lebih panjang juga menyumbang kepada angka jualan lebih tinggi pada Julai 2020," kata persatuan itu.

Bagaimanapun, setakat Julai lalu, pendaftaran kenderaan baharu adalah 33.1 peratus lebih rendah iaitu 232,245 unit berbanding 347,171 yang didaftarkan dalam tempoh sama setahun lalu.

Sementara itu, pengeluaran kenderaan baharu pada Julai jatuh 2.6 peratus tahun ke tahun kepada 47,631 daripada 48,912 unit yang dikeluarkan setahun lalu.

MAA berkata, jumlah jualan bagi bulan ini dijangka menyamai angka Julai, dipacu oleh pengecualian cukai jualan dan kempen promosi berterusan oleh syarikat-syarikat kereta.

Berita Harian X