Isnin, 22 Jun 2020 | 6:25pm
Sebanyak 22,960 unit kenderaan dijual pada Mei
Sebanyak 22,960 unit kenderaan dijual pada Mei

Jualan kenderaan di Malaysia kembali pulih bulan lalu

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan pada Mei kembali pulih kepada 22,960 unit, berbanding hanya 141 unit pada April, demikian menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Namun, jumlah jualan pada bulan itu susut 62.2 peratus berbanding 60,760 unit yang dicatatkan pada bulan sama tahun lalu, kerana orang ramai masih bimbang untuk keluar walaupun selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih longgar iaitu PKP Bersyarat (PKPB).

MAA dalam kenyataannya berkata, jualan kenderaan penumpang turun 63.4 peratus kepada 20,456 unit, berbanding 55,894 unit manakala jualan kenderaan komersial merosot 48.5 peratus kepada 2,504 unit, daripada 4,866 unit.

Setakat ini, penjualan kumulatif kenderaan di antara Januari dan Mei 2020 merosot hampir separuh kepada 129,561 unit daripada 253,731 unit tahun sebelumnya, katanya.

"Secara umum, orang ramai masih bimbang untuk keluar dan sentimen pengguna kekal berhati-hati," katanya.

MAA berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga hanya memulakan pendaftaran kereta penumpang kenderaan baharu mulai 13 Mei lalu.

Menuju ke hadapan, ia berkata jumlah jualan pada bulan Jun 2020 akan lebih tinggi daripada Mei 2020 memandangkan perniagaan telah disambung semula setelah penarikan sekatan untuk kebanyakan aktiviti ekonomi.

"Kehadiran pengunjung ke bilik pameran kereta bertambah baik setelah pengumuman pengecualian cukai penjualan oleh kerajaan," katanya.

Pengeluaran kenderaan Malaysia, yang terdiri daripada entiti penumpang dan komersial, juga merosot.

MAA melaporkan bahawa sejumlah 12,286 kenderaan dikeluarkan pada Mei 2020, turun 76.1 peratus daripada 51,454 unit tahun sebelumnya.

Setakat tahun ini, pengeluaran kenderaan turun 51.1 peratus kepada 121,005 unit berbanding 247,563 unit pada tahun sebelumnya.

Berita Harian X