Jumaat, 5 Jun 2020 | 10:12pm

Pengecualian cukai jualan, harga kereta lebih murah

KUALA LUMPUR: Harga kereta penumpang dijangka menurun bermula pertengahan bulan ini hingga akhir tahun, dengan jumlah penurunannya akan mengambil kira faktor lain berkaitan ekosistem automotif secara keseluruhan.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi negara (PENJANA) bahawa kerajaan akan mengecualikan cukai jualan sepenuhnya bagi kereta penumpang CKD dan 50 peratus bagi model CBU.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata penurunan harga kereta penumpang bagi kereta pemasangan tempatan (CKD) dan model import sepenuhnya (CBU) bergantung kepada beberapa faktor termasuk harga barang komponen CKD, kos buruh, eksais duti dan caj pemasangan yang dikenakan.

Katanya, meskipun jumlah pengurangan harga belum dapat ditentukan buat masa ini, namun ia cukup untuk menarik minat belian pengguna kerana kebiasaannya syarikat pengeluar akan tampil dengan inisiatif tersendiri untuk menggalakkan jualan.

"Secara matematik mudah, harga kereta CKD boleh menurun hampir 10 peratus dan model CBU pula lima peratus berdasarkan pengiraan cukai jualan yang perlu diketepikan oleh pengeluar.

"Hakikatnya, pengiraan bukan sebegitu kerana kami kena mengambil kira aspek lain juga.

"Apa pun, saya boleh katakan, harga kereta untuk tempoh sehingga Disember pastinya lebih murah disamping pelbagai manfaat lain yang akan ditawarkan pengeluar untuk merancakkan industri automotif," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Aishah menjelaskan, pengecualian cukai jualan dijangka memacu jumlah keseluruhan industri (TIV) melebihi angka semakan semula 2020 berjumlah 400,000 unit tahun ini disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19.

"Terlalu awal untuk menetapkan berapakah jumlah peningkatan TIV selepas pengecualian cukai jualan dilaksanakan.

"Untuk mencapai jumlah 600,000 unit sebagaimana tahun sebelumnya pastinya sukar," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata langkah pengecualian cukai jualan dapat memulihkan keberlangsungan industri automotif yang terkesan akibat COVID-19.

"Pengurangan harga kereta di dalam jangkamasa enam bulan ini memudahkan keputusan pembelian oleh pengguna, terutamanya yang perlu membeli kereta baharu. Ia juga membenarkan pengeluar membuat perancangan pengeluaran yang lebih tepat, disebabkan tempoh spesifik yang diberikan oleh kerajaan bagi pengecualian cukai jualan.

"MARii akan membuat kajian simulasi bagi mengunjurkan impak daripada pengecualian cukai ini, justeru membolehkan kerajaan memantau keberkesanan pemulihan TIV sepanjang tempoh 'cuti cukai' ini," katanya.

Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri, berkata pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan itu ibarat 'cuti cukai 2.0' yang harus digunakan rakyat jika ingin membeli kereta penumpang baharu.

"Sebarang pengurangan cukai akan menyebabkan penurunan harga. Jumlah penurunan bergantung pada duti eksais kenderaan berkenaan sebab cukai jualan bergantung pada jumlah cukai, bukan harga jualan.

"Saya berharap penjimatan kos pemilikan kenderaan ini akan menyebabkan 'kegilaan belian' seperti ketika cuti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dahulu.

"Untuk pengeluar kenderaan, mereka berharap jualan akan meningkat. Bagi pembeli pula, semestinya ia akan menyebabkan mereka mahu membeli kereta sebelum keistimewaan ini berakhir," katanya.

Berita Harian X