Selasa, 19 Mei 2020 | 7:12pm
Langkah penjagaan yang diperlukan dilaksanakan di semua pusat jualan dan pusat servis PERODUA - Foto ihsan PERODUA
Langkah penjagaan yang diperlukan dilaksanakan di semua pusat jualan dan pusat servis PERODUA - Foto ihsan PERODUA

PERODUA kembali beroperasi pada kapasiti penuh

KUALA LUMPUR: Semua bilik pameran, pusat servis serta pusat badan dan cat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) di seluruh negara kembali beroperasi sepenuhnya selepas ditutup selama dua bulan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PERODUA dalam satu kenyataan berkata, semua 182 pusat jualan, 202 pusat servis serta 68 pusat badan dan cat sudah melaksanakan langkah penjagaan bagi menangani penularan COVID-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata bahagian pengeluaran di Sungai Choh, Rawang juga sudah beroperasi sepenuhnya selepas sebahagiannya memulakan operasi mulai 11 Mei lalu.

"Hari ini, kami mengumumkan bahawa kami selesai melaksanakan langkah penjagaan yang diperlukan di semua pusat jualan, servis serta badan dan cat di seluruh negara bagi memastikan pelanggan yang dihargai serta pekerja dilindungi secukupnya di dalam situasi COVID-19," katanya.

Selain itu, Zainal Abidin berkata, cawangan PERODUA sudah memulakan operasi secara berperingkat dari 12 Mei dan syarikat bekerja keras untuk memastikan semua langkah keselamatan dan kesihatan dilaksanakan dengan betul dan menyeluruh.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang dihargai atas kesabaran dan kesetiaan mereka. Kami akan memastikan semua keperluan permotoran anda dapat dipenuhi dengan selamat dan segera," katanya.

PERODUA berkata, pelanggan yang ingin menyelenggara kenderaan diminta untuk mendapatkan slot temu janji temu dahulu dengan pusat servis pilihan mereka dengan kaedah 'walk-in' tidak akan diterima buat masa ini untuk mengelakkan kesesakan.

"Semua pelawat mestilah menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis, mendaftarkan maklumat diri mereka dan mematuhi penanda jarak sosial di dalam premis setiap masa.

"Pembersih tangan ditempatkan di lokasi penting, manakala pembersihan secara berkala turut dibuat ke atas premis berkenaan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X