Sabtu, 16 Mei 2020 | 8:24pm
SOP baharu di pusat servis Proton diambil demi menjaga keselamatan pelanggan - Foto ihsan Proton
SOP baharu di pusat servis Proton diambil demi menjaga keselamatan pelanggan - Foto ihsan Proton

Proton amal SOP baharu di pusat servis

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) baharu di pusat servis bagi membendung penularan COVID-19 selepas menjangkakan menerima kehadiran ramai pelanggan.

Dalam kenyataannya, pengeluar kereta nasional itu berkata, langkah berkenaan diambil demi menjaga keselamatan pelanggan selain menjadi aspek kritikal selepas tidak beroperasi selama hampir dua bulan.

Antara langkah baharu dilaksanakan di pusat servis itu adalah pelanggan perlu membuat janji temu terlebih dahulu dan syarikat tidak akan menerima pelanggan yang tidak berbuat demikian.

Pendekatan lain adalah meletakkan tanda jarak sosial di setiap kaunter pendaftaran, meja penasihat servis, kaunter pembayaran selain ruang menunggu.

Pelanggan juga diminta menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis dan perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan.

"Cecair pembersih tangan akan disediakan di kaunter pendaftaran selain poster keselamatan diletakkan di semua pusat servis. Malah, setiap kereta akan disanitasi selepas servis dan sebelum diserahkan semula kepada pemilik," kata Proton.

Pengurus Besar Selepas Jualannya, Tan Kang Leng, berkata Proton juga mengehadkan jumlah janji temu yang diterima setiap hari.

"Bagi mengawal jumlah kakitangan dan pelanggan berada di dalam satu tempat pada waktu yang sama, kami telah mengatur strategi untuk mempercepat setiap proses dari (peringkat) pendaftaran sehinggalah penyerahan kereta kepada pelanggan," katanya.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X