Selasa, 12 Mei 2020 | 6:27pm
Proton X70 - Gambar ihsan Proton
Proton X70 - Gambar ihsan Proton

Proton X70 akan dilengkapi Sistem Pembersih Udara Pintar

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd memperkenalkan Sistem Pembersih Udara Pintar Proton (P-IAPS), yang akan ditawarkan sebagai peralatan standard dalam Proton X70 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata sistem ini menggabungkan kelebihan Penapis Kabin N95 dan Sistem Pembersih Udara untuk menawarkan kaedah yang komprehensif bagi meningkatkan kualiti udara dalam ruang penumpang.

"Penapis Kabin N95 yang baharu ini mampu mengeluarkan 95 peratus partikel yang lebih besar daripada 0.3 mikron dan juga membuang 98 peratus debu PM2.5.

"Oleh itu, ia menjadi perisai perlindungan yang amat berkesan terhadap asap, habuk, bakteria dan lain-lain bahan pencemaran termasuk sebagai fungsi kitaran dalam sistem penyaman udara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengenalan Penapis Kabin N95 adalah sangat relevan dalam persekitaran global hari ini dan dengan meningkatkan kualiti udara di dalam kabin, Proton berharap pelanggan akan menikmati pengalaman perjalanan yang amat selesa.

"Buat masa sekarang, P-IAPS hanya akan ditawarkan melalui Proton X70 tetapi pereka dan jurutera kami sedang berusaha untuk menyesuaikan Penapis Kabin N95 dalam model yang lain," katanya.

Dengan menggabungkan Sistem Pembersih Udara dengan Penapis Kabin N95, P-IAPS bertindak menghalang udara tercemar memasuki kabin, sekali gus, menawarkan tahap perlindungan yang tinggi untuk mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan sihat.

Sementara itu, katanya, sistem pembersih udara sedia ada yang dipasang kepada semua Proton X70 akan dikekalkan.

"Ia menggunakan penapis berzarah bercekapan tinggi (HEPA) yang mengeluarkan 99.97 peratus pertikel yang lebih besar daripada 0.3 mikron manakala karbon aktifnya membasmi bau, formaldehid dan menyerap serta membersihkan zarah-zarah asap.

"Selain itu, ion negatif pada penapis akan membantu menulenkan udara," tambahnya lagi.

Sementara Penapis Kabin N95 ini akan dipasang pada unit baharu X70 tahun ini yang dikeluarkan di Tanjung Malim, pemilik sedia ada boleh menggantikan penapis mereka kepada Penapis Kabin N95 pada harga RM79, tidak termasuk caj buruh.

-BERNAMA

Berita Harian X